Mengenai Kami

En. Derek John Fernandez

 
 

En. Derek John Fernandez telah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkuat kuasa 18 April 2023 untuk tempoh dua (2) tahun.

En. Derek John Fernandez telah memperolehi B.Sc., LL.B. (Hons.) dari Universiti Monash, Australia, dan telah diterima masuk ke Victorian Bar Australia pada 8 November 1989 dan Badan Peguam Malaysia pada 22hb Februari 1991. Beliau telah berkhidmat sebagai pengamal undang-undang  selama 30 tahun dan merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Agung Victoria, Australia. Beliau juga merupakan salah seorang rakan kongsi di Tetuan Fernandez & Selvarajah. Beliau telah berkhidmat selama dua belas tahun sebagai ahli majlis kanan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (“MBPJ”) dan kini merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Kewangan MBPJ.
 
En. Derek John Fernandez telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Pengarah serta ahli Jawatankuasa Audit CyberSecurity Malaysia (“CSM”) dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (“SPAN”). Beliau juga berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kepada beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, dan Menteri Besar. En. Derek John Fernandez juga telah menulis sebuah artikel dan pelan tindakan bertajuk “Cybersecurity, need for change in approach” pada 26 August 2022. Beliau juga telah menyerahkan artikel tersebut kepada Menteri Komunikasi dan Digital.
 
En. Derek John Fernandez turut menyandang pelbagai jawatan dan peranan penting, termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bersama Bukit Gasing (“JACBG”) serta Pengerusi pelbagai kumpulan kerja yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung dengan Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar, Desa dan perihal berkaitan Undang-Undang Tanah. Beliau telah terlibat secara langsung dalam penyediaan Dasar Perancangan Negeri Selangor 2, Dasar Perancangan Struktur Daerah Petaling dan Dasar Perancangan Tempatan Petaling Jaya. Beliau juga mewakili beberapa pertubuhan dan Persatuan Penduduk dalam perbicaraan Draf Dasar Perancangan Kuala Lumpur, serta menjadi wakil penduduk dalam perbincangan Dasar Perancangan Tempatan  Subang Jaya. Beliau juga berkhidmat dalam Pasukan Petugas Majlis Peguam Malaysia yang ditugaskan untuk meneliti tragedi Bukit Antarabangsa. En. Derek John Fernandez juga telah memberikan jasa yang sangat besar kepada pembangunan tadbir urus kewangan di MBPJ, dimana beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Tadbir Urus di MBPJ. Penubuhan jawatankuasa ini telah memberikan impak yang sangat besar kepada MBPJ kerana telah berjaya menambah baik hasil bukan kadar Majlis Bandaraya melalui pengurusan pengiklanan luar, dana amanah infrastruktur kritikal dan caj pembangunan.
 
En. Derek John Fernandez telah menerima pelbagai anugerah dan memberikan pelbagai sumbangan penting kepada MBPJ. Sebagai kolumnis terkemuka, En. Derek John Fernandez juga menyumbangkan banyak artikel kepada akhbar tempatan seperti The New Straits Times, The Sun dan The Malay Mail mengenai topik-topik kepentingan awam, dan dikenali oleh pihak media sebagai pakar dalam hal-hal kerajaan tempatan. Beliau juga telah menjalankan pelbagai seminar dan membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mengenai Undang-undang Kerajaan Tempatan dan Undang-undang Perancangan untuk kakitangan Kerajaan, persatuan profesional, penduduk, dan orang awam. Pihak media telah menamakan  beliau sebagai seorang pakar dalam perihal berkaitan Undang-undang Awam, Undang-undang Kerajaan Tempatan, Undang-undang Tanah dan Undang-undang Perancangan dan Pembangunan.
 
Follow