Pusat Media

SKMM jamin filem tak dapat diakses

21 Sep 2012, Berita Harian
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan akan terus mengambil tindakan untuk memastikan filem anti-Islam, Innocence of Muslims tidak dapat diakses.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi, berkata pihaknya bekerjasama dengan Google Malaysia bagi menyekat tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik filem itu.

Video asli Innocence of Muslims sudah dipadamkan sejak dua hari lalu, bagaimanapun apa yang dapat ditonton orang ramai ketika ini adalah salinan yang dimuat naik pihak tidak bertanggungjawab, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berbanding video asli 13 minit, filem yang dimuat naik semula adalah lebih pendek iaitu dua hingga empat.

Kelmarin, AFP melaporkan, Google Malaysia sudah menyekat filem anti-Islam itu yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, selepas kerajaan membuat aduan rasmi.

Usaha sekat berterusan

Filem bajet rendah itu menimbulkan kemarahan umat Islam kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan menggambarkan masyarakat Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.

Mohamed Sharil berkata, suruhanjaya tidak akan berhenti menyekat penyebaran video itu daripada laman perkongsian video YouTube.

Sejak Jumaat lalu, pegawai SKMM berusaha untuk memadamkan video yang kebanyakannya sedutan filem itu yang dilakukan pihak dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, ini akan memakan masa dan tidak akan menampakkan hasil dalam masa singkat, katanya.

Sementara itu, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, berkata tiba masanya umat Islam bergabung bagi menentang musuh Islam yang sentiasa cuba mencetuskan Islamofobia.

Ketika inilah, umat Islam tanpa mengira fahaman politik perlu bangkit dan membuktikan semangat perpaduan sesama Islam untuk berjuang bagi menangkis siri dakyah musuh Islam.

Dalam hal ini, tidak salah rasanya untuk mengadakan demonstrasi secara aman, katanya.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan, berkata pihaknya sudah menghantar memorandum bantahan terhadap filem itu ketika menghadiri majlis Aidilfitri di Kedutaan Amerika Syarikat, baru-baru ini, selain ucapan takziah atas serangan terhadap konsulatnya di Libya yang mengorbankan duta, J Christopher Stevens.  
Kongsi artikel ini
Follow