Pusat Media

MCMC, Huawei Malaysia mulakan program kecemerlangan kepimpinan digital

27 Mac 2024, Bernama
CYBERJAYA, 27 Mac (BERNAMA) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) hari ini melancarkan program pembangunan bakat, "Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital: Mengemudi Sempadan Teknologi." 

Inisiatif ini bertujuan memperkasa pemimpin merentas industri dan sektor awam dengan kemahiran dan pengetahuan penting, membolehkan mereka meneraju transformasi digital dalam organisasi mereka.

Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berharap kerjasama dengan Huawei Malaysia akan membantu suruhanjaya itu mencapai matlamatnya untuk melahirkan pemimpin digital, yang mampu meningkatkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi dan kepimpinan.

"Selain itu, semua ilmu yang diperoleh menerusi program selama lapan bulan ini akan berupaya memberi manfaat kepada semua peserta untuk menunjukkan kemajuan dalam kerjaya dan bidang masing-masing," katanya kepada pemberita selepas pelancaran majlis itu di Pusat Latihan Global Huawei Malaysia di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata program itu menawarkan pendekatan pembelajaran bersepadu yang komprehensif, merangkumi pembelajaran dalam talian, bengkel , penyertaan dalam persidangan, penempatan praktikal, projek kecemerlangan di Huawei Malaysia, dan lawatan industri selama tujuh hari ke China. 

Beliau berkata pemimpin organisasi, kementerian dan akademia perlu mendalami pelbagai domain teknologi untuk memacu penggunaannya dan memanfaatkan keupayaan transformasinya untuk mencipta hasil yang lebih baik, tanpa mengira sektor atau industri.

"Program ini, dibangunkan oleh Huawei Malaysia dan MCMC, membantu dalam merealisasikannya.

"Apa yang diharapkan dapat dicapai daripada program ini adalah untuk melengkapkan generasi pemimpin organisasi pada masa ini dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai teknologi pesat membangun untuk mendapatkan kemahiran teknologi tambahan, dan berjaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran ini untuk meningkatkan kecekapan operasi,"katanya.

Menurut Simon, program itu akan melibatkan seramai 300 peserta dalam jawatan kepimpinan meliputi agensi kerajaan, industri dan akademia dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

"Lapan domain utama kandungan yang akan berada dalam 32 modul adalah kepimpinan, teknologi 5G, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda, pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau dan kesalamatan siber,"katanya.

 
 

 
Kongsi artikel ini
Follow