Pusat Media

Lagu raya: MCMC ambil keterangan Aliff Shukri

03 Apr 2024, Berita Harian

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah merakam percakapan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini berhubung klip video lagu berjudul Love Raya yang dikongsinya di media sosial baru-baru ini dan menimbulkan kontroversi.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), keterangan itu diambil di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor.

"Rakaman percakapan ini adalah susulan aduan yang diterima oleh MCMC berhubung kandungan video teaser hari raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.

"Selepas kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, pegawai penyiasat juga sudah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang sudah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

Usahawan kontroversi itu sebelum ini membuat permohonan maaf selepas memuat naik klip video lagu baharu berjudul Love Raya yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan pada Ramadan.

Melalui hantaran video dalam Instagram (IG), semalam, Aliff, 36, turut memohon maaf kepada ibunya yang juga usahawan, Rozita Ibrahim selepas ditegur kerana memuatnaik video tidak sepatutnya pada bulan Ramadan.

Kongsi artikel ini
Follow