Pusat Media

Didakwa ibarat ‘abang besar’, MCMC pegang teguh Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

29 Ogo 2023, Utusan TV

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan bersikap seperti ‘abang besar’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, MCMC menegaskan, suruhanjaya itu berpegang teguh kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkannya menjalankan fungsi-fungsi sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia.

Menurut MCMC, salah satu tanggungjawab utama suruhanjaya itu adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang perlakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia.

Katanya, ia termasuk tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat.

“Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan.

“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MCMC menyifatkan etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian.

Suruhanjaya itu berkata, amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya.

“Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.

“MCMC telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit.

“Bagi memerangi isu ini, MCMC kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat,” tegasnya.

Terdahulu, sekumpulan tokoh wartawan veteran membantah tindakan MCMC sejak akhir-akhir ini yang didakwa bertindak sebagai ‘abang besar’.

Kebimbangan itu diluahkan apabila MCMC dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.

“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai “big brother” (abang besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.

Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.

Kongsi artikel ini
Follow