Pusat Media

5,457 aduan kandungan lucah dalam aplikasi Telegram sejak 2020

24 Jun 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 5,457 aduan bagi tempoh antara tahun 2020 sehingga 31 Mei 2023 berhubung kandungan lucah termasuk di aplikasi Telegram.

SKMM dalam kenyataannya berkata, semua aduan itu sudah pun diteliti oleh pihaknya dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.

Menurutnya, jika terdapat elemen kesalahan yang dikesan, tindakan berupa notis kepada pihak penyedia platform untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan akan dikeluarkan bagi membendung penyebaran kandungan sedemikian.

"Dalam pada itu, sekiranya terdapat maklumat tambahan yang boleh menjurus kepada pengenalan identiti penyebar kandungan lucah, laporan berkenaan akan dipanjangkan kepada pihak SKMM bagi tindakan lanjut.

"Sebarang aktiviti penyebaran kandungan berbentuk lucah secara dalam talian mahupun di luar talian adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan ia adalah adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

SKMM berkata, undang-undang relevan lain juga akan terpakai mengikut fakta kes yang disiasat. Katanya, ia juga tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kongsi artikel ini
Follow