Pusat Media

Kedudukan Jalur Lebar Malaysia Bertambah Baik

12 Dis 2018
CYBERJAYA, 12 Disember 2018 --- Malaysia naik 6 tangga dari 41 ke 35 dalam kategori harga bakul jalur lebar tetap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan melangkau jauh 25 tangga dari 61 ke 36 dalam kategori handset mudah alih prabayar untuk 500MB. Bakul Harga ICT ITU (IPB) mengukur kemampuan komposit berdasarkan tiga sub-bakul – telefon tetap, selular mudah alih dan perkhidmatan jalur lebar internet – dan dikira sebagai peratusan daripada Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita. Diterbitkan setiap tahun, IPB memantau harga relatif perkhidmatan ICT dan memberi indikasi tahap kemampuan perkhidmatan, di pelbagai negara dan jangka masa.    

Ia dinyatakan dalam Laporan Mengukur Masyarakat Berinformasi 2018 (MIS) yang dikeluarkan oleh ITU di Simposium Penunjuk Telekomunikasi/ICT Dunia yang Ke-16 di Geneva baru-baru ini. Malaysia berperestasi baik dalam harga bakul selular mudah alih dengan peningkatan 3 mata tetapi jatuh 22 mata dalam kategori komputer mudah alih yang mengutamakan dongles dan USB. Penurunan ini berdasarkan pilihan pengguna.  

Menurut ITU inilah kali pertama, lebih daripada separuh populasi dunia akan menggunakan internet sehingga penghujung 2018. Ini dikira pencapaian penting untuk merangkum masyarakat bermaklumat dengan menyampaikan peluang baharu dalam pembangunan melalui ICT.

Dalam nada sama, Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, “Dengan lebih kurang 87% pengguna internet dan 118% kadar penembusan jalur lebar di Malaysia, Kerajaan sangat komited bagi memastikan tiada siapa pun yang ketinggalan. Usaha untuk meningkatkan akses dan liputan sekaligus dengan harga rendah untuk jalur lebar bermakna lebih ramai rakyat akan boleh mengakses internet dan mengubah kehidupan mereka menerusi penggunaan ICT.”  

Sebagai tambahan, ITU menyebut bahawa dalam kebanyakan ekonomi sedang membangun, langganan jalur lebar mudah alih telah berkembang pesat menyokong peningkatan dalam pendapatan data. Di Malaysia, langganan jalur lebar mudah alih meningkat 23.6% antara 2016 dan 2017. ITU juga melaporkan persaingan terus sengit di Malaysia, sambil menyatakan bahagian pasaran tiga operator terbesar (Digi, Maxis dan Celcom) menurun dari 78.2% pada 2016 ke 74.2% pada 2017. Dengan pemberi perkhidmatan agresif dan semakin menawarkan jalur lebar mudah alih berinovasi dan persaingan pakej data yang disertakan dengan kebolehan data besar dan telefon pintar mampu milik, penerimaan jalur lebar mudah alih semakin rancak, khususnya dalam tempoh setahun lalu.

Pada 2018, persaingan semakin sengit dengan adanya Standard Mandatori Harga Akses yang membolehkan lebih banyak pemberi perkhidmatan membuat penawaran, yang mengakibatkan harga semakin menurun. Kini, pengguna jalur lebar dapat menikmati antara 34% hingga 56% pengurangan dalam pakej baharu yang ditawarkan.  

“Dengan kemampuan dan akses, khususnya melalui jalur lebar mudah alih, lebih ramai rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan terpencil akan turut sama dan mendapat manfaat daripada Ekonomi Digital,” kata Al-Ishsal. “Pada masa yang sama, MCMC akan memantau dan menguatkuasakan dengan tegas kualiti perkhidmatan oleh Standard Mandatori mengenai Kualiti Perkhidmatan. Pelan Fiberisasi dan Keterhubungan Kebangsaan (NFCP) adalah pendekatan banyak cabang untuk meningkatkan liputan dan memberi kelajuan untuk menyokong Ekonomi Digital Malaysia,” tambah beliau lagi.  

 PDF

Kongsi artikel ini
Follow