Media & Events

MCMC Turun Padang Tangani Masalah Capaian Internet Di Kg. Sungai Samak, Bagan Datuk

21 Jun 2021
Susulan masalah capaian Internet penduduk Kampung Sungai Samak, Bagan Datuk yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 19 Jun 2021 baru-baru ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan pelbagai usaha sedang giat diambil bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan tersebut ditangani dengan segera.

Satu pertemuan antara pihak MCMC Negeri Perak dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis dengan Ketua Kampung Sungai Samak, Ahmad Hilmi Yunus telah pun diadakan pada 19 Jun bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.
 
Pengarah MCMC Negeri Perak, En. Zairulnahar Zakaria (dua dari kiri) bersama-sama dengan wakil penyedia perkhidmatan dari Celcom, Digi dan Maxis mengadakan pertemuan dengan Ketua Kampung Sg. Samak semalam bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah capaian Internet lemah yang dihadapi oleh penduduk kampung itu.
 
Sebagai langkah penyelesaian awal, kerja-kerja menaik taraf menara sedia ada akan dijalankan oleh pihak Celcom di lokasi menara terdekat dengan kampung ini dan dijangka siap pada bulan September 2021. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para pelajar boleh menggunakan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang berada di Kampung Sungai Samak yang terletak dalam lingkungan 2.5 km untuk meneruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) selain memanfaatkan kemudahan yang disediakan di PIK berkenaan. Namun begitu, ini adalah tertakluk kepada pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) semasa PKP.
 
Untuk penyelesaian jangka masa panjang pula, solusi menerusi Pelan Jalinan Digital Negera (JENDELA) sudah dirancang. Sebuah menara baharu akan dibina oleh pihak Maxis di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka siap pembinaannya pada bulan April 2022. Pembinaan menara baharu itu dijangka mampu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh para penduduk di sekitar Kampung Sungai Samak.


PDF

 

Share this article
Follow