Pusat Media

MCMC: Percantuman Platform Komunikasi dan Multimedia Akan Menjana Peluang Ekonomi Baharu Dalam Dunia Tanpa Sempadan

11 Sep 2014
KUALA LUMPUR, September 11, 2014 --- Laporan Prestasi Industri 2013 yang diterbitkan oleh MCMC hari ini menunjukkan prestasi baik industri komunikasi dan multimedia dengan rekod peningkatan pendapatan sebanyak 4.5% kepada RM53.4 bilion berbanding RM51.1 bilion pada tahun 2012. Prestasi industri komunikasi dan multimedia dilihat stabil terutamanya telekomunikasi dengan bahagian pendapatan sebanyak 85%, penyiaran 11%, dan yang selebihnya oleh sektor pos dan lain-lain.

Berdasarkan kepada permodalan pasaran, industri komunikasi dan multimedia menunjukkan prestasi yang sederhana berdasarkan permodalan pasaran di Bursa Malaysia dengan peningkatan sebanyak 2.3% kepada RM195.3 bilion pada tahun 2013. Ini menunjukkan 11.5% daripada jumlah permodalan pasaran sebanyak RM1,702.2 bilion.

Menurut Pengerusi MCMC, Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini fokus MCMC adalah dalam memastikan rakyat terhubung dengan perkhidmatan jalur lebar. Ini dilihat pada jumlah 20.3 juta pelanggan perkhidmatan jalur lebar yang direkodkan pada tahun 2013; yang mana 88.7% adalah pelanggan jalur lebar peranti mudah alih seperti 3G, dan selebihnya adalah talian tetap.

Dengan komitmen yang diberikan oleh pembekal perkhidmatan dalam menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar 4G LTE yang lebih meluas pada tahun 2013 dan mencapai 50% liputan kepada populasi pada tahun 2017, aspek mobiliti akan membolehkan penggunaan internet di mana sahaja, dan pada bila-bila masa. Sebagai contoh, kaedah membeli-belah dalam talian akan meningkat dan bilangan pelanggan dan transaksi seperti bil dan pembayaran dapat dijalankan dalam masa sebenar, dalam talian.

Internet berkelajuan tinggi membolehkan penggunaan ICT dipergiatkan lagi dalam pelbagai bidang bisnes. Ianya dapat menjimatkan masa dan kos operasi, sekaligus meningkatkan keberkesanan perniagaan. Tambahan lagi, aspek keterhubungan mampu memberikan maklumat berharga dalam membuat sebarang keputusan perniagaan dengan adanya ‘dashboard’ atau analitik Data Besar (Big Data) yang boleh menganalisis tingkah laku pelanggan dan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan ketangkasan syarikat untuk bertindak balas mengikut peredaran arus pasaran.

Percantuman platfom sebegini membuka peluang untuk pelbagai produk dan tawaran perkhidmatan mudah didapati dan semakin murah hasil daripada pendigitalan. Aplikasi dan perkhidmatan seperti perkhidmatan pusat data, penjagaan kesihatan terhubung, perkhidmatan pengesahan dan perkhidmatan e-Dagang termasuk rangkaian pos dan kurier akan menjadi lebih baik dan mendapat meningkatkan permintaan.

Perkhidmatan kandungan pula menggabungkan video dalam banyak aspek seperti pendidikan dalam talian, kerjasama tenaga kerja, pengiklanan mudah alih, rangkaian sosial selain daripada hiburan dalam talian dapat mempertingkatkan penglibatan pengguna dan meningkatkan daya saing, tetapi juga menguji kapasiti rangkaian telekomunikasi.

"Pada tahun 2014 dan seterusnya, Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada infrastruktur telekomunikasi yang dibangunkan sejak 10 tahun lalu. Kita perlu mempercepatkan dan membina dengan lebih banyak lagi untuk maju ke arah gaya hidup digital yang produktif di Malaysia,” kata Dato’ Sharil.

Menjangkau ke hadapan, infrastruktur dan liputan yang disediakan oleh industri komunikasi dan multimedia dijangka akan dimanfaatkan oleh sektor-sektor lain ke arah peningkatan produktiviti melalui lebih banyak inovasi dan kreativiti. "MCMC memegang peranan utama untuk membawa Malaysia menjadi pusat utama maklumat dan perkhidmatan kandungan. Ini adalah masa yang tepat bagi MCMC, KKMM dan Finas menganjurkan KL Converge, pada 17 sehingga 19 September bagi menyediakan platform untuk pakar-pakar, pengguna, pemaju, pengeluar dan usahawan untuk datang bersama-sama menjalinkan hubungan dan memperluaskan industri kandungan dan kreatif di peringkat antarabangsa," tambah Dato' Sharil.
 
TAMAT


 PDF

Kongsi artikel ini
Follow