Pusat Media

MCMC Perjelas Laporan Mengenai Kelajuan Jalur Lebar Di Malaysia

06 Mei 2014
CYBERJAYA, 6 Mei 2014 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sependapat dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di media hari ini berhubung kelajuan jalur lebar di Malaysia. Keraguan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai data dalam talian yang diterbitkan oleh Ookla mengenai kelajuan jalur lebar negara sebenarnya berasas. Akhir-akhir ini, terdapat beberapa ujian kelajuan jalur lebar telah dijalankan dan dihebahkan oleh pihak-pihak tertentu menggambarkan keputusan yang berbeza-beza. Setiap ujian tersebut dinilai menggunakan metodologi berbeza-beza yang membawa kepada keputusan yang berlainan.
 
“Ternyata, anda akan mendapat keputusan yang berbeza-beza memandangkan terdapat beberapa buah laporan selain Ookla, seperti Akamai dan ITU. Malah hakikatnya, jika anda melihat hasil keputusan ujian Ookla (lihat rajah 1 di bawah), purata kelajuan jalur lebar di Kuala Lumpur adalah 6.92 Mbps manakala Pantai pula menunjukkan purata kelajuan setinggi 21.84 Mbps. Semuanya bergantung kepada di mana ujian berkenaan dijalankan dan berapa buah bandar yang dikira,” jelas Pengerusi MCMC, Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi. “Kita mempunyai pasaran pembekal perkhidmatan internet (ISP) yang teguh dan bagus; sesetengah mungkin menawarkan kelajuan (pakej jalur lebar) yang lebih berbanding dengan yang lain. Kesudahannya, apabila sesuatu ujian kelajuan dilaksanakan, keputusan akan dipuratakan,’’ tambahnya lagi.

MCMC sejak sekian lama telah mengiktiraf keperluan untuk menaiktaraf kelajuan jalur lebar dan kualiti dan sejak 2010 lagi, telah pun giat melaksanakan peluasan jalur lebar melalui pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di bawah Inisiatif Jalur Lebar Nasional (NBI). MCMC juga telah mengeluarkan spektrum baharu untuk LTE pada 2.6 GHz dan membenarkan pengendali-pengendali sedia ada untuk menaiktaraf rangkaian-rangkaian mereka yang terletak dalam jalur 1800 MHz kepada LTE. “Rangkaian-rangkaian ini akan mengambil masa untuk dibina. Fasa 1 HSBB telah siap di lebih 100 buah kawasan perindustrian, pekan-pekan dan bandar-bandar manakala Fasa 2 HSBB juga telah dimuktamadkan. Malahan, kita sudah pun mengeluarkan tender bagi membina 400 menara telekomunikasi untuk kawasan luar bandar di Malaysia. Pelan pelaksanaan jalur lebar memberikan penekanan kepada seluruh negara dan bukan sahaja bandar-bandar seperti di negara-negara lain, agar setiap rakyat dapat menikmati keterhubungan itu,’’ kata Dato’ Sharil.

Usaha-usaha untuk memperbaiki kelajuan jalur lebar di Malaysia dan komitmen kerajaan ke arah merealisasikan matlamat itu cukup terserlah. Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2014 mengumumkan, pelaksanaan Fasa 2 HSBB bersama-sama dengan jalur lebar ke kawasan-kawasan luar bandar yang dijalankan di bawah kerjasama awam-swasta mencecah RM5.75 bilion untuk tempoh tiga tahun akan datang. (lihat sedutan Ucapan Bajet 2014 di bawah).

“Untuk tempoh tiga tahun akan datang, kita akan memperluas pelaksanaan jalur lebar berkelajuan tinggi ini ke kawasan-kawasan bandar dan akan mempunyai kelajuan minimum 100 Mbps. Manakala pelan menaiktaraf jalur lebar di kawasan-kawasan pinggir bandar akan sekurang-kurangnya mempunyai kelajuan antara 4 hingga 10 Mbps. Kesemua kerja penaiktarafan ini akan dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif umpamanya dengan memperluas liputan teknologi berasaskan gentian optik, membina 1,000 menara pemancar telekomunikasi untuk penyelesaian tanpa wayar di kawasan luar bandar, menghubungkan timbal-balik gentian optik ke stesen-stesen pemancar serta membina sistem kabel dasar laut yang baharu antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak,’’ kata Dato’ Sharil.

“Secara jujurnya, kita akui masih banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam hal ini. Kita sentiasa berdialog dengan pihak industri bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan jalur lebar, kelajuan selain peluasan liputannya. Data-data lampau menunjukkan terdapat pertumbuhan yang cukup pesat dalam aspek penggunaan jalur lebar dan berkemungkinan pihak industri tidak menjangka tingginya permintaan yang perlu dipenuhi. Sebagai contohnya, langganan untuk 3G sejak 2006 telah meningkat sebanyak 42 kali,’’ tambah Dato’ Sharil. (Lihat rajah 2 di bawah)

Fakta-fakta tambahan
 
Ookla Speedtest Akamai
Ujian Kelajuan Ookla menggunakan metodologi yang berlandaskan kepada platform kandungan yang dijana oleh pengguna. Ia bertindak mengumpul data pengguna yang memilih untuk menggunakan pelayan bagi menguji kelajuan internet. Hanya keputusan-keputusan ujian yang diambil dalam
Ujian Akamai mengira purata kelajuan sambungan (average connection speed) dan purata kelajuan sambungan puncak (average peak connection speed). Purata kelajuan sambungan boleh dikira dengan mengambil purata kesemua kelajuan sambungan manakala purata kelajuan sambungan puncak diambil daripada
lingkungan 300 batu daripada pelayan akan dimasukkan ke dalam indeks ini. Kelajuan tertinggi dan terendah kemudiannya akan dibahagikan kepada beberapa bilangan titik ujian.

Keputusan-keputusan tersebut adalah berbeza bergantung kepada pakej-pakej jalur lebar, populasi dan negara. Tambahan pula, keputusan-keputusan itu tidak akan membezakan antara masa tertentu dalam sesuatu hari apabila ujian berkenaan dijalankan bila mana terdapat pengguna yang berhubung pada kelajuan Gigabit dan tidak kurang juga pada talian perhubungan telefon, satelit atau kepantasan DSL.

Semakin meluas liputan jalur lebar, maka semakin banyaklah keputusan yang akan menggambarkan purata kelajuan muat turun yang lebih rendah melainkan semua kawasan yang diliputi mempunyai kadar tumpuan jalur lebar yang tinggi.                              
Ujian Akamai mengira purata kelajuan sambungan
(average connection speed) dan purata kelajuan
sambungan puncak (average peak connection speed).
Purata kelajuan sambungan boleh dikira dengan
mengambil purata kesemua kelajuan sambungan
manakala purata kelajuan sambungan puncak diambil
daripada kelajuan sambungan tertinggi. Kedua-duanya
dikira semasa tempoh ujian suku tahun daripada alamat
IP yang ditentukan berada di dalam sesebuah negara.
Akamai percaya bahawa purata kelajuan sambungan
puncak adalah lebih sesuai untuk menggambarkan
kapasiti sambungan internet. Dengan menggunakan ukuran terlaju daripada setiap alamat IP yang unik, kesemua sambungan tadi yang mencecah had maksimum kadar kejayaan penghantaran sesuatu mesej dapat digambarkan. Sering kali, walaupun bukan selalu, sambungan-sambungan ini berkait rapat dengan muat turun fail yang lebih besar seperti aplikasi-aplikasi desktop, permainan dan kemaskini perisian.

Laporan Kebolehmampuan 2013, A4A1 (Alliance for Affordable Internet), Malaysia menduduki tangga teratas dalam kalangan 46 buah negara membangun untuk Indeks Kebolehmampuan diikuti oleh Mauritius dan Brazil. Harga akses internet yang sampai kepada majoriti penduduk merupakan hasil kejayaan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI), pengaplikasian teknologi yang canggih serta kerangka undang-undang dan dasar yang progresif.
http://a4ai.org/wp-content/uploads/2014/01/Affordability-Report-2013_Final-2.pdf
 
Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Suruhanjaya Jalur Lebar telah menetapkan beberapa sasaran yang akan dicapai menjelang 2015, yang mana Malaysia telah berjaya mencapai kesemua sasaran yang ditetapkan pada 2011 yang lalu.
 
Sasaran-sasaran vs Pencapaian Malaysia adalah seperti berikut:-

I. Menjadikan dasar jalur lebar bersifat universal (Inisiatif Jalur Lebar Nasional telah dilancarkan pada 2010)

II. Perkhidmatan jalur lebar peringkat permulaan harus berpatutan di negara-negara membangun yang merangkumi kurang daripada 5% daripada purata pendapatan bulanan; (Pakej paling rendah yang boleh diperoleh RM15 ialah kurang 1% daripada purata pendapatan bulanan RM2,000)

III. 40% daripada isi rumah di negara-negara membangun seharusnya mempunyai akses internet; (67.3% Penembusan Jalur Lebar Isi Rumah)

IV. Penembusan pengguna Internet harus mencecah 60% di seluruh dunia, 50% di negara-negara membangun dan 15% di negara-negara mundur; (18.6 juta pengguna internet ie. 63.6% daripada populasi)
http://www.itu.int/en/ITU-D/Statistics/Documents/publications/mis2012/MIS2012_without_Annex_4.pdf

Mengukur Masyarakat Berinformasi (MIS) 2013, ITU melaporkan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai harga jalur lebar tetap yang paling berpatutan pada peringkat permulaan yang dinilai dalam bentuk peratusan daripada pendapatan negara kasar perkapita (GNI), Malaysia (3.1%), Thailand (5.6%), Indonesia (9.1%), Vietnam (11.3%), Kemboja (34%).  
http://www.itu.int/en/ITU-D/Statistics/Documents/publications/mis2013/MIS2013_without_Annex_4.pdf
  
  

Rajah 1; Sumber: netindex.com
http://www.netindex.com/download/2,26/Malaysia/


Langganan 3G bertambah sebanyak 42 kali sejak 2006


Rajah.2; Sumber: MCMC

Sedutan Ucapan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 25 Oktober, 2013.

Meluaskan Akses Internet

51. Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, pelbagai informasi kontemporari boleh diperolehi di hujung jari. Maknanya, peningkatan akan dibuat bagi mencapai tahap prasarana yang sewajarnya untuk menampung keperluan pengguna. Sebab itu, di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara, Kerajaan telah melaksanakan projek High Speed Broad Band atau HSBB.
 
52. Usahasama dengan pihak swasta ini melibatkan pelaburan sebanyak 11.3 bilion ringgit, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan. Kini, projek HSBB telah dilaksanakan dengan capaian internet berkelajuan 4 megabits sesaat. Ini memanfaatkan 2.3 juta premis terutama di kawasan bandar.

53. Untuk meningkatkan lagi liputan internet di bandar-bandar utama, Kerajaan akan melaksanakan Fasa Kedua Projek HSBB dengan kerjasama pihak swasta. Ini melibatkan kos pelaburan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Inisiatif ini dijangka memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan bandar merangkumi 2.8 juta isirumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini dijangka mampu mencapai 10 megabits sesaat.

54. Kepada rakyat yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10 megabits sesaat. Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak 1.6 bilion ringgit.

55. Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan sebanyak 1.5 bilion ringgit untuk meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos 850 juta ringgit. Semua pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.


 PDF

Kongsi artikel ini
Follow