Pusat Media

Kemudahan internet lebih baik, stabil di Pulau Tioman

01 Jun 2022, Sinar Harian
KUANTAN - Lapan projek pemasangan gentian optik telah dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sekitar Pulau Tioman, Rompin yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun hadapan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, daripada jumlah itu, lima kampung di Rompin siap dipasang gentian optik.

Menurutnya, kampung terbabit ialah Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Air Batang, Kampung Salang dan Kampung Genting.
"Selepas ini, tiga lagi projek gentian optik bermula di Kampung Genting seterusnya di Kampung Mukut dan Kampung Sarang Burung iaitu kampung paling jauh di pulau ini

"Inisiatif ini sedang dilaksanakan SKMM bersama kerajaan Pahang dan syarikat telco dijangka siap penghujung suku pertama tahun depan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Jelasnya, perkhidmatan internet talian tetap yang berkelajuan tinggi itu juga mampu membawa impak positif dalam kemajuan sosio ekonomi masyarakat kampung pulau tersebut.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata,semua usaha ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang sedang giat dilaksanakan di seluruh Pahang.

Menurutnya, di bawah pelaksanaan Jendela Rompin, sebanyak 32 menara baharu dibina dan 121 stesen pemancar dinaiktaraf kepada jaringan termasuk di pedalaman dan perkampungan Orang Asli.
 
Kongsi artikel ini
Follow