Media & Events

Tujuh kertas siasatan dibuka di bawah unit 'task force' 3R PDRM

08 Apr 2023, Astro Awani
KUALA LUMPUR: Tujuh kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes 3R atau kes penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja bagi tempoh bermula 27 Mac 2023 hingga 6 April 2023.

Siasatan dibuat satu unit task force yang ditubuhkan Polis DIraja Malaysia (PDRM) bagi memfokuskan isu 3R (bangsa, agama dan raja) yang berperanan menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan Institusi Diraja.

Menurut Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, task force ini diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Siasatan akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Tambahnya, objektif task force memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh hari.

"Daripada keseluruhan tujuh kes itu, empat kes berkaitan penghinaan institusi diraja, dua kes penghinaan agama dan satu kes melibatkan elemen perkauman. 

"Setakat ini, dua individu ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman manakala seorang suspek sedang dikesan,"katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu. 

Uajrnya lagi, daripada tujuh kertas siasatan itu, tiga dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan manakala empat kes masih dalam siasatan pihak USJT.

"PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R. 

"Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boloeh menyebabkan kegentaran awam, melalui platform media sosial akan diambil undang-undang di bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan,"tambahnya lagi. 
Share this article
Follow