Media & Events

SKMM-MIV jalin kerjasama tingkatkan literasi digital guru, pelajar

10 Oct 2023, Harian Metro

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Malaysia ICT Volunteer (MIV) menganjurkan Bengkel MIV Bersama Sekolah 2023 Peringkat Negeri, selaras usaha meningkatkan literasi digital serta pengetahuan guru dan pelajar berkaitan penggunaan ICT secara berhemah.

Sebanyak lima sesi bengkel sudah dianjurkan di Kedah, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu.

SKMM dalam kenyataannya hari ini berkata, bengkel itu menarik penyertaan 218 wakil yang terdiri daripada Guru Penyelaras ICT, Guru Pendidikan Khas, serta pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri.

"Selain menggalakkan penggunaan ICT secara bertanggungjawab, bengkel-bengkel yang dianjurkan, baru-baru ini, mendedahkan peserta mengenai penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) secara optimum.

"Sesi perkongsian turut menyentuh kaedah melindungi diri daripada menjadi mangsa ancaman dalam talian.

Selain daripada sesi perkongsian inisiatif SKMM iaitu Klik Dengan Bijak (KDB), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat sebagai rakan strategik.

"Ringkasan Modul dikongsikan termasuk Impak Penggunaan ICT Terhadap Kesihatan serta Penguatkuasaan Jenayah Siber di Malaysia', ia dilihat dapat memberi pendedahan kepada guru yang terbabit dalam usaha mendepani penyalahgunaan ICT yang semakin mencabar pada masa kini," katanya dalam kenyataan itu.

Untuk rekod, katanya, sejak 2016 hingga 2022, SKMM sudah berjaya menganjurkan sebanyak 22 sesi Bengkel MIV Bersama Sekolah dengan pembabitan seramai 2,596 guru di seluruh negara.

Menurutnya, Bengkel MIV Bersama Sekolah adalah satu daripada empat kumpulan fokus di bawah inisiatif MIV.

Share this article
Follow