Media & Events

Salah guna aplikasi telegram, MCMC teliti kenakan tindakan tegas

22 May 2023, Berita RTM
KUALA LUMPUR, 22 Mei- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku yang memuat naik kandungan pornografi dan menjual dadah serta ubat-ubatan yang tidak disahkan Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi telegram.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata tindakan tegas wajar diambil kepada mereka yang telah menyalahgunakan aplikasi itu.

Taktik mempromosikan aktiviti menyalahi undang-undang sedemikian amat merisaukan susulan banyak aduan diterima pihaknya.

"Saya juga terima banyak aduan tentang platform telegram disalahgunakan untuk pornografi, jualan ubat dan dadah serta macam-macam perkara lain yang melanggar undang-undang.

"Saya telah menyatakan dan mengarahkan MCMC untuk memanggil pihak telegram dan sehingga hari ini mereka enggan hadir.

"Saya minta pihak MCMC untuk meneliti tindakan tegas kerana perkara seperti menjual dadah dan mempamerkan bahan pornografi dalam aplikasi ini amat merisaukan. Pihak kerajaan akan ambil tindakan yang tegas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Ulang Tahun ke-56 Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Wisma Bernama.

Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada BERNAMA atas sambutan ulang tahunnya ke-56.

Beliau juga menyambut baik penganjuran Hari Wartawan Nasional yang disifatkan medium mempamerkan peranan bidang kewartawanan.

"Saya cukup menggalakkan usaha dan ikhtiar BERNAMA menganjurkan Hari Wartawan Nasional kerana dari segi itu ia menunjukkan satu pusat penggerak utama dalam industri media di Malaysia," katanya.

Share this article
Follow