Media & Events

Perkhidmatan telekomunikasi di Pos Lemoi, Telimau pulih

01 Jan 2024, Astro Awani
KUANTAN: Perkhidmatan telekomunikasi di dua penempatan Orang Asli, iaitu Pos Lemoi dan Pos Telimau di Cameron Highlands yang terganggu selepas kabel gentian optik terputus akibat tanah runtuh pada Rabu lepas pulih sepenuhnya hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata kerja penyambungan kabel yang terputus di beberapa lokasi itu selesai dilakukan pagi tadi.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat atas kerjasama dan usaha berterusan selama beberapa hari, untuk menyelesaikan gangguan ini.

Terima kasih juga kepada penduduk perkampungan Orang Asli yang memahami kekangan dihadapi pihak berkenaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi,"katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Fadzil memaklumkan berlaku gangguan perkhidmatan komunikasi di dua pos penempatan yang terletak kira-kira 20 kilometer(km) dari Pekan Ringlet, ekoran tanah runtuh yang berlaku di laluan Lembah Bertam ke Pos Lemoi.

Kejadian itu menyebabkan kabel putus atau tiang kabel rosak, juga di beberapa lokasi sepanjang laluan berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menerima aduan gangguan perkhidmatan itu daripada kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada Jumaat, bagaimanapun tidak dapar melakukan kerja-kerja pembaikan dengan segera kerana keadaan jalan yang tidak boleh dilalui.

Ini kerana timbunan tanah yang runtuh perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum kenderaan membawa kabel gentian baru dan peralatan berkaitan dapat memasuki lokasi kejadian.

Kerja membersihkan timbunan tanah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands dengan bantuan penduduk setempat.
Share this article
Follow