Media & Events

MCMC sekat 118 laman pelacuran sejak Januari

21 Nov 2023, Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Sejumlah 118 laman pelacuran telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 1 Januari sehingga 15 November 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, sekatan dibuat berdasarkan permohonan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, tindakan terhadap kegiatan pelacuran sama ada secara dalam talian atau luar talian adalah secara khusus tertakluk di bawah bidang kuasa PDRM di bawah peruntukan perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Bagi platform media sosial, tindakan yang diambil tidak berfokus kepada satu platform sahaja sebaliknya mencakupi berbilang platform media sosial.

"Dari 1 Januari 2023 sehingga 15 November 2023, sejumlah 76 kandungan berkaitan pelacuran di platform-platform media sosial termasuk Twitter telah diturunkan atas pelanggaran piawaian komuniti yang ditetapkan oleh platform media sosial terbabit serta perlakuan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang negara.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah bagi menghentikan kegiatan pelacuran dalam talian melibatkan anak muda di platform X atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Nie Ching menjelaskan, MCMC berperanan memberikan bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital, serta pelaksanaan tindakan sekatan atau penurunan kandungan berdasarkan permohonan daripada PDRM atau aduan lain yang berkaitan.

"Langkah-langkah ini akan diteruskan oleh MCMC dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti PDRM, pemberi perkhidmatan internet dan penyedia platform media sosial untuk menangani permasalahan berkaitan aktiviti pelacuran dalam talian di Malaysia," katanya.

Share this article
Follow