Media & Events

MCMC pantau penyebaran maklumat tidak sahih, kenyataan jelik 3R

12 Jan 2021, Bernama

PUTRAJAYA, 12 Jan -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R - Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race) - berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perisytiharan Proklamasi Darurat.

Suruhanjaya itu mengingatkan rakyat bahawa sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

MCMC menasihati semua pihak, terutamanya pengguna media sosial, agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

 

"Elakkan keghairahan yang melampau atau membuat spekulasi liar serta berita palsu yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni," kata MCMC dalam kenyataannya hari ini.

Suruhanjaya itu turut berharap rakyat dapat bersama-sama kerajaan dalam memberi fokus kepada usaha meredakan ledakan pandemik COVID-19 dan membantu penduduk yang terjejas oleh banjir di beberapa negeri.

MCMC berkata tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

MCMC juga meminta orang ramai untuk melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R dalam media sosial terus kepada MCMC melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-220 6262 atau e-mel kepada mediasosial@mcmc.gov.my.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/, katanya. 

Share this article
Follow