Media & Events

MCMC kaji semula kerangka kawal selia kandungan digital

12 May 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada berkaitan kandungan digital di negara ini berikutan terdapat trend peningkatan penyalahgunaannya sehingga mengganggu gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, berkata sebagai badan kawal selia industri tertumpu di Malaysia, pihaknya akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia bagi melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada.

Katanya, ini termasuk kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah segera bagi memastikan aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.

"Tindakan bersama dan usaha yang diambil oleh MCMC adalah penting dalam memastikan masyarakat dilindungi serta mempunyai persekitaran yang selamat dalam alam digital.

"Langkah berkenaan juga akan dapat memastikan rasa kebertanggungjawapan yang lebih tinggi dan hormat kepada kedaulatan nasional dan pada masa yang sama, memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian, termasuk scam dan aktiviti penipuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Salim berkata, sebelum ini pihak pengawal selia dan rakan industri dari Singapura, Vietnam dan Indonesia juga dalam proses untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal selia serta menjenayahkan aktiviti penipuan dalam sesetengah platform.

Katanya, tindakan itu sekali gus akan mempertanggungjawabkan platform yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan oleh kerajaan dengan membenarkan aktiviti berniat jahat seperti penipuan pengiklanan dalam platform mereka atau tidak mengambil langkah yang secukupnya dalam mengekang aktiviti sedemikian.

Sementara itu, mengulas mengenai trend peningkatan penyalahgunaan platform digital di negara ini, Mohamad Salim memaklumkan, sejak penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 11,858 aduan berkaitan penipuan diterima setakat April lalu.

"Selain itu, ata yang diperolehi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi tempoh antara 2021 sehingga April lalu mendapati, jumlah kerugian akibat kegiatan scam itu mencecah sehingga RM1.2 bilion.

"Bagi tempoh sama, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada MCMC adalah sebanyak 2,125 kes. Selepas meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang ditimbulkan adalah disebabkan sikap lepas tangan oleh penyedia platform,MCMC berpendapat wujud keperluan untuk mengenakan serta menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian serta pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi berkenaan.

"Oleh itu MCMC akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam," katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.

Disebabkan itu perlu adanya tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pihak pengawal selia diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam.

"MCMC tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan scam, aktiviti siber yang berniat jahat, penipuan, pancingan data (phishing), kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum, serta penghinaan terhadap institusi Diraja.

"Kami akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang. MCMC selaku ahli dalam NSRC bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), tekad untuk meneruskan usaha bersama dalam memerangi aktiviti penipuan menerusi tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit," katanya.

Share this article
Follow