Media & Events

MCMC ingatkan orang ramai tidak sebar gambar, kandungan pelajar maut dilanggar

18 Dec 2023, Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai bahawa sebarang perkongsian gambar atau kandungan yang berkaitan kes kemalangan membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Meru, Ipoh Jumaat lepas, boleh dikenakan tindakan.

MCMC dalam kenyataan malam ini memaklumkan tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan menekankan tentang kepentingan untuk menghormati mangsa dan keluarga, serta pada masa sama menunjukkan empati yang tinggi.

"Jika telah memuat naik atau berkongsi gambar atau video daripada kejadiaan berkenaan, orang ramai dinasihatkan untuk menurunkan hantaran atau memadam kandungan berkenaan. Selain itu, semua pihak turut dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa," menurut MCMC dalam kenyataan itu.

Menurut MCMC perkongsian gambar atau rakaman video mangsa tidak hanya akan melukakan perasaan keluarga mangsa, tetapi juga melanggar prinsip dan etika asas dan setiap individu harus membuat pertimbangan sewajarnya untuk tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan.

"MCMC menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang membabitkan seorang pelajar sekolah di Meru, Ipoh." menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 15 Dis lepas, seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Pegawai tersebut telah didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA
Share this article
Follow