Media & Events

Liputan 5G di Perak 71.9 peratus

04 Dec 2023, Sinar Harian
IPOH - Kadar liputan rangkaian 5G di Perak telah mencapai 71.9 peratus kawasan berpenduduk sehingga September 2023. 

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, kerajaan terus komited untuk mempercepatkan perluasan teknologi 5G bagi menyempurnakan kesalinghubungan internet.

Menurutnya, ia sekali gus memastikan semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik.

"Pihak Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan perluasan liputan 5G di negeri Perak mencapai 77.3 peratus sehingga hujung tahun 2023. Sehingga September 2023, kadar perluasan liputan 5G di negeri Perak telah mencapai 71.9 peratus kawasan berpenduduk.

"Pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB di seluruh negara sedang dijalankan secara berperingkat dan kebanyakannya ditumpukan di kawasan-kawasan yang berkepadatan tinggi serta mempunyai aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi," katanya ketika menjawab soalan lisan Zafarulazhan Zan (PN-Kampung Gajah) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, bagi kawasan DUN Kampung Gajah, pihak DNB menyasarkan perluasan liputan 5G di pekan Kampung Gajah dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun 2024.

Beliau berkata, terdapat satu tapak pemancar liputan 5G telah dirancang pembinaannya.

Share this article
Follow