Media & Events

Kemudahan JENDELA, hubungkan orang asli dengan dunia luar

08 Jul 2023, Berita RTM

GUA MUSANG, 8 Julai- Lebih 1,000 penduduk orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman di Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan bersyukur kerana menerima manfaat jalur lebar atau internet yang disediakan kerajaan.

Kemudahan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu mereka berhubung dengan dunia luar meskipun tinggal jauh di pedalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Dendi Johari berkata penduduk orang asli bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif jaringan perhubungan kepada penduduk yang tinggal hampir 100 kilometer dari bandar Gua Musang.

Katanya, selain dapat mengikuti perkembangan semasa, mereka juga dapat membuat aduan mengenai masalah yang berlaku di kawasan perkampungan mereka. 

"Jaringan internet ini memudahkan penduduk kampung untuk berinteraksi dengan keluarga mereka. Ia juga boleh membantu ketika waktu kecemasan. Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil perhatian dan juga melaksanakan pembangunan. Kita juga mengharapkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini.

Penduduk kampung orang asli, Suli Mohd Daud dan Shera Chele ketika ditemui pemberita bersyukur dengan adanya internet kerana ia memudahkan mereka berkomunikasi dengan keluarga mereka.

"Mestilah bersyukur kerana senang berkomunikasi dengan keluarga dan orang luar. Kita juga dapat menggunakan WhatsApp, TikTok dan macam-macam lagi," kata Suli Mohd Daud.

"Perasaan saya sangat gembira dan bersyukur. Internet memudahkan urusan termasuk pembelajaran anak-anak," kata Shiera Chele.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan melalui kementeriannya akan terus berusaha mempercepatkan perluasan capaian, serta meningkatkan kelajuan internet di seluruh negara.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan dan peningkatan kemudahan digital di luar bandar dan pedalaman bagi memastikan kesamarataan akses kepada teknologi dan internet di seluruh negara.

Ujarnya, pada masa ini, hanya kira-kira tiga peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara masih tidak mempunyai capaian internet.

Share this article
Follow