Media & Events

Kaunter fizikal PADU di PEDi mudahkan urusan warga emas

10 Jan 2024, Bernama
IPOH, 10 Jan (Bernama) - Kaunter fizikal Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang disediakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Perak, memberi kemudahan kepada rakyat khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU), untuk mendaftar sistem tersebut. 

Tinjauan di Kaunter PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta yang dibuka hari ini dan esok, menjadi tumpuan orang ramai bagi memahami manfaat serta panduan pendaftaran sistem berkenaan.

Seorang pesara Muhamad Hasan, 66, berkata pembukaan kaunter di PEDi itu, memastikan rakyat khususnya warga emas dan golongan kurang upaya mendapat akses untuk melakukan pendaftaran.

"Bagi golongan berumur seperti kami ini, mungkin berhadapan masalah jika mahu mendaftar menggunakan telefon pintar berbanding di PEDi, sebab pendaftarannya menggunakan komputer.

"Selalunya perkara melibatkan pendaftaran secara dalam talian ni memang anak yang akan bantu, namun dia di Kuala Lumpur, dan oleh kerana dah ada kaunter saya ambil keputusan daftar terus di kaunter lebih efisien,"katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Bagi Mat Zauki Abu Bakar, 63, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan kaunter fizikal PADU, bagi memudahkan urusan pendaftaran rakyat.

"Saya memang tak tahu apa itu PADU dan hanya mendengar melalui perkhabaran daripada rakan-rakan, nak mendaftar pun tidak mahir sangat kerana bimbang berlaku kesalahan, namun apabila buka kaunter seperti ini memang memudahkan urusan saya.

"Kebanyakannya yang datang hari ini pun warga emas dan mereka yang kurang upaya, golongan macam kami ini agak ketinggalan, khususnya melibatkan teknologi jadi perlu ada bantuan untuk pastikan kami tidak tercicir,"katanya.

Bagi S.Shanker, 51, pembukaan kaunter fizikal penting, bagi mereka yang masih belum memahami dengan jelas mengenai kepentingannya kepada rakyat yang mendaftar melalui sistem itu.

"Apabila mendapat tahu ada kaunter PADU dibuka di sini, saya ambil peluang untuk datang dan mendaftar, selain ingin dapatkan penjelasan lebih jelas tentang sistem ini, bila tanya sendiri kepada pegawai yang berkaitan ia lebih jelas.

"Masa mendaftar jika ada sebarang persoalan boleh bertanyakan kepada pegawai yang bertugas, sekali gus memahami manfaat bakal diterima khususnya dalam aspek bantuan dan subsidi,"katanya.

Sementara itu, Pengurus PEDi Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta, Mohd Sallehin Abdul Jalil berkata pendaftaran PADU di kawasan itu, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk yang datang ke pusat berkenaan bagi mendapatkan bantuan penjelasan mengenainya.

"Setakat ini memang kita menjadi tempat rujukan mendapatkan maklumat dan menjadi tanggungjawab kami berikan penerangan yang kebanyakannya warga emas.

"Mereka kurang mahir dalam kemahiran ICT, mungkin anak-anak mereka jauh dan apabila PEDI dijadikan tempat pendaftaran, mereka ambil peluang untuk mendaftar segera,"katanya.

Mohd Sallehin berkata beliau turut menyarankan kepada orang ramai khususnya warga emas, untuk hadir ke PEDi kawasan masing-masing bagi melakukan pendaftaran mengikut penggiliran yang ditetapkan DOSM Perak.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan, merupakan hab data negara yang selamat dan komprehensif untuk mengelakkan berlakunya keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan.

PADU merupakan satu pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu, dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
 
Share this article
Follow