Media & Events

Ejen daftar 3,600 talian prabayar satu nama dikesan

12 Sep 2007, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan tindakan licik ejen sebuah syarikat pembekal perkhidmatan selular yang mendaftar 3,600 talian prabayar menggunakan satu nama individu. Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, SKMM akan mengambil tindakan tegas terhadap ejen dan syarikat berkenaan kerana membenarkan penggunaan satu nama untuk mendaftarkan 3,600 akaun. “SKMM mengesan kegiatan itu setelah membuat audit bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan pengguna telefon mudah alih prabayar yang menggunakan nama sendiri,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Jimmy Donald (BN-Sri Aman) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Sebelum ini, kerajaan telah mensyaratkan semua pengguna telefon mudah alih prabayar mendaftar sehingga tarikh akhir 29 Disember 2006 dan jika gagal talian mereka akan dibatalkan. Semasa menjawab soalan asal Jimmy, Shaziman berkata, sejak Januari 2007, SKMM sebenarnya sudah menjalankan proses audit dan pengesahan data pengguna dengan Jabatan Pendaftaran Negara secara bulanan. “Sehingga hari ini, sebanyak 1.5 juta data pengguna sudah diperiksa dan disahkan. Kurang daripada dua peratus daripadanya sudah dikembalikan kepada pengendali perkhidmatan telefon mudah alih untuk pengesahan maklumat pengguna bagi mengelakkan pendaftaran palsu atau penipuan. “Kebanyakan kes yang dirujuk semula membabitkan masalah kesilapan ejaan dan rekod maklumat pengguna,” ujarnya. Jelasnya lagi, SKMM juga telah mengesan 30 kes salah guna telefon mudah alih yang dirujuk dan pemantauan kad prabayar di pasaran sentiasa dibuat untuk memastikan ia tidak boleh digunakan selagi proses pendaftaran tidak selesai. “Sehingga suku kedua 2007, sejumlah 21.2 juta pengguna telefon mudah alih sudah didaftarkan iaitu 3.5 juta (17 peratus) pengguna pasca bayar dan 17.7 juta (83 peratus) lagi pengguna prabayar,” katanya.
Share this article
Follow