Pusat Media

SIARAN AKHBAR: Lima Suspek Disiasat Tular Berita Palsu COVID-19

23 Mac 2020
CYBERJAYA, 23 Mac 2020 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah mengambil rakaman percakapan lima (5) suspek atas tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19 di beberapa lokasi di Perak dan Pulau Pinang.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

MCMC dan PDRM berganding bahu melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehingga 23 Mac 2020, MCMC telah menerima sebanyak 43 kes daripada orang awam, yang mana seramai 18 suspek telah dikenal pasti. Enam (6) daripada mereka termasuk seorang selebriti telah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

MCMC memandang serius akan sikap tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19. Memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah. MCMC dan PDRM memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita, sila layari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy.

Maklumat mengenai penularan berita palsu mengenai COVID-19 turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

-Tamat-

PDF
Kongsi artikel ini
Follow