Pusat Media

MCMC Keluarkan 92 Kompaun Bernilai RM4.6 Juta Kepada Syarikat Telekomunikasi (Con't)

04 Jul 2020
MCMC Keluarkan 92 Kompaun Bernilai RM4.6 Juta Kepada Syarikat Telekomunikasi Atas Ketidakpatuhan Standard Mandatori Bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS)

CYBERJAYA, 4 Julai 2020 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 92 kompaun bernilai RM4.6 juta setakat suku kedua 2020 kepada syarikat-syarikat telekomunikasi atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan pengebilan, prestasi penyelesaian aduan bukan pengebilan dan standard prestasi pengendalian panggilan (talian hotline pelanggan).

Jumlah dan nilai kompaun sehingga suku kedua 2020 itu adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah keseluruhan sepanjang 2019 yang menyaksikan hanya 26 kompaun bernilai RM960,000 dikeluarkan.

                  
Peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan sehingga suku kedua 2020 itu mencerminkan ketegasan dan komitmen MCMC dalam memastikan kualiti pengalaman pengguna sentiasa terjamin, sekaligus mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia negara serta memastikan kemampanan industri terhadap kepentingan pengguna untuk jangka panjang.

Pihak MCMC akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang gagal mengekalkan standard yang ditetapkan dalam AKM 1998, MSQoS dan Kod Pengguna Am. Mereka yang ingkar boleh didenda di bawah Seksyen 105(3) AKM 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM100,000.00 bagi setiap kesalahan.

Pihak industri adalah disarankan agar meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi kepentingan pengguna dan seterusnya memperkukuhkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow