Pusat Media

MCMC Berjaya Selesaikan Masalah Capaian Internet Di Kg. Muhibbah, Penawar

26 Jun 2021
MCMC BERJAYA SELESAIKAN MASALAH CAPAIAN INTERNET DI KG. MUHIBBAH, PENAWAR

Susulan masalah capaian Internet lemah di Kg. Muhibbah, Penawar, Kota Tinggi yang memaksa seorang pelajar untuk mengikuti kelas dalam talian dari rumah tular di media sosial pada 24 Jun 2021, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan pelbagai langkah-langkah telah diambil untuk membantu pelajar yang terkesan itu.

Sehari selepas kisah berkenaan dilaporkan, pihak MCMC Negeri Johor bersama-sama dengan wakil penyedia perkhidmatan telah turun padang dan melawat lokasi tersebut. Satu pertemuan telah diadakan dengan ibu kepada pelajar yang terkesan itu iaitu Puan Farah Norain Hashim bagi menyiasat dan mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi.

PENGARAH MCMC Negeri Johor, Encik Muhammad Azhar Zakaria (dua dari kanan) mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga termasuk dengan ibu kepada pelajar yang terkesan, Puan Farah Norain Hashim (kiri sekali) di Kg. Muhibbah, Penawar bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah capaian Internet yang dihadapi mereka.
 
Hasil ujian liputan yang dijalankan di dalam dan luar rumah pelajar tersebut mendapati, liputan Internet adalah lemah memandangkan rumah yang didiami pelajar berkenaan dikelilingi oleh pokok kelapa sawit.

Justeru, MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk mengubah pancaran liputan daripada menara terdekat yang terletak 1.1 kilometer jauhnya ke rumah pengadu dan tindakan tersebut telah pun diambil. Selain itu, turut dijalankan ialah ujian kelajuan, set semula komputer riba dan telefon bimbit serta menjalankan proses troubleshooting di dalam dan luar rumah pengadu.

Hasil tindakan yang diambil itu, capaian Internet di rumah pelajar tersebut berjaya dipulihkan dan kini Puan Farah berserta anaknya dapat menerima panggilan telefon serta mendapat liputan 4G melalui komputer ribanya.

PDF

 
Kongsi artikel ini
Follow