Pusat Media

MCMC Ambil Tindakan Tangani Masalah Capaian Internet Di Kampung Malan, Dangi Di Kuala Pilah (Cont')

02 Jul 2021
MCMC AMBIL TINDAKAN TANGANI MASALAH CAPAIAN INTERNET DI KAMPUNG MALAN, DANGI DI KUALA PILAH DAN KAMPUNG SAWAI, MATU DI SARAWAK

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi oleh penduduk di beberapa buah kawasan.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang diambil di lokasi-lokasi seperti berikut:

i. Kampung Malan, Dangi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Susulan laporan oleh pihak media yang membangkitkan ketiadaan capaian Internet di Kampung Malan, Dangi di Kuala Pilah, perkara berkenaan telah disiasat oleh MCMC.

Satu pertemuan antara pihak MCMC Negeri Sembilan bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Hj. Saiful Yazan Sulaiman, wakil penyedia perkhidmatan dan pengadu telah dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat selain menjelaskan perancangan MCMC untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, satu rundingan telah diadakan dengan pihak penyedia perkhidmatan bagi mempertimbangkan penyediaan infrastuktur komunikasi seperti Portable Bases Transmitter Station (PBTS) di lokasi aduan dalam masa terdekat. 
Bagi langkah penyelesaian jangka panjang pula, permohonan telah dimajukan bagi pembinaan menara komunikasi baharu di lokasi aduan di dalam perancangan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa akan datang. Dalam hal ini, pihak TM telah memberi komitmen untuk menyegerakan penyediaan talian tetap yang dijangka siap pada 31 Disember 2021 berbanding dengan perancangan asal pada Februari 2022. Manakala bagi pihak Digi pula, mereka turut memberi komitmen untuk menaik taraf liputan 4G yang disasarkan pada awal Ogos 2021 di menara yang terdekat.

ii. Kampung Sawai, Matu di Sarawak

Sementara itu, bagi masalah capaian Internet di Kampung Sawai, Matu pula, MCMC akan mengadakan lawatan ke lokasi aduan pada Sabtu ini bagi mendapatkan gambaran sebenar serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat. MCMC telah mengenal pasti kawasan ini terlebih dahulu dan sebuah menara komunikasi telah dirancang pembinaan di kawasan Muara Sawai, Matu di bawah JENDELA Fasa 1. Pembinaan menara tersebut melengkapi menara komunikasi sedia ada yang telah beroperasi meliputi sembilan (9) menara komunikasi komersial serta tujuh (7) menara komunikasi yang telah dibina di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan MCMC di daerah Matu.

Selain itu, sebanyak 20 stesen pemancar komunikasi sedia ada di daerah Matu kini dalam proses naik taraf kepada perkhidmatan 4G. Inisiatif menaik taraf stesen pemancar sedia ada ini dijangka selesai menjelang penghujung tahun 2021.

Bagi perancangan jangka panjang di bawah pelan JENDELA Fasa 1 pula, sebanyak sembilan (9) menara komunikasi baharu secara keseluruhan telah dirancang untuk dibina di sekitar daerah Matu termasuk satu (1) di kawasan Muara Sawai, seperti yang disebutkan di atas. Pembinaan kesemua menara komunikasi berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021, setelah proses penilaian tender dimuktamadkan oleh MCMC. Selain itu, perkhidmatan jalur lebar mudah alih melalui satelit juga telah dikenal pasti bagi kawasan Muara Sawai dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021.

Sehubungan itu, MCMC akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekaligus membolehkan Internet dinikmati oleh semua rakyat.

PDF
 
Kongsi artikel ini
Follow