Pusat Media

Masalah Capaian Internet Di Kg. Ulu Seladang, Setiu: MCMC Ambil Tindakan Bantu (Cont')

28 Jun 2021
MASALAH CAPAIAN INTERNET DI KG. ULU SELADANG, SETIU: MCMC AMBIL TINDAKAN BANTU PELAJAR-PELAJAR YANG TERKESAN

Susulan masalah capaian Internet lemah di Kg. Ulu Seladang, Permaisuri, Terengganu yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 26 Jun 2021, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersamasama dengan wakil penyedia perkhidmatan telah turun padang dan melawat kedua-dua orang pelajar berkenaan serta para penduduk kampong tersebut. Pelbagai langkah untuk membantu menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk tengah diambil.

Hasil tinjauan yang dijalankan mendapati, liputan Internet di kampung tersebut terhad kepada 3G sahaja dan oleh sebab itu, keperluan pelajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah tidak memadai. 

Justeru, pihak MCMC ingin memaklumkan, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerja-kerja menaik taraf menara komunikasi di Kg. Ulu Seladang kepada liputan 4G sedang giat dijalankan dan dijangka siap selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021.

Apabila kerja-kerja menaik taraf menara komunikasi siap nanti, ia dijangka membantu menyelesaikan isu kualiti liputan di Kg. Ulu Seladang dan tiga (3) kampung sekitarnya iaitu Kg. Besut, Kg. Bayas dan Kg. Padang yang akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang penduduk.

PDF
 

Kongsi artikel ini
Follow