Pusat Media

Maklum Balas Kepada Isu Penguntukan Spektrum Yang Dibangkitkan Oleh Ahli Parlimen Johor Bahru

25 Jun 2021
Merujuk kepada dakwaan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru tentang tindakan penguntukan spektrum melalui arahan Menteri, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memberikan penjelasan berasaskan peruntukan undang-undang dan proses yang sedia ada.

Proses penguntukan spektrum adalah mengikut ketetapan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Proses penguntukan spektrum antaranya mengikut Seksyen 7, Seksyen 10, Seksyen 174 dan Seksyen 176, AKM 1998. Dalam setiap satu, radas undang-undang yang perlu diguna pakai adalah Arahan oleh Menteri dan Penentuan oleh Menteri .

Kaedah penguntukan spektrum melalui hak keutamaan (preferential rights) ini adalah dibenarkan dalam AKM98 dan perlu mengikut proses yang teratur dan rapi. Penguntukan spektrum perlu mengambil kira, pelan spektrum, pengagihan yang setara untuk menyokong perkhidmatan berkualiti kepada pengguna, kepastian jangka panjang penguntukan serta penguntukan terdahulu kepada pemegang lesen. Berasaskan kepada prinsip-prinsip tersebut, spektrum 2600Mhz dan 900Mhz telah dikenal pasti untuk penguntukan. Spektrum 2600Mhz telahpun terdahulunya sejak 2012 diuntukkan kepada lapan (8) syarikat berlesen iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Redtone, Webe, YTL dan Altel di mana penguntukan adalah mengikut penguntukan yang terdahulu. Manakala sebahagian kecil 900Mhz yang dikenal pasti telah berikan kepada Altel.

Pada kali ini, penguntukan spektrum adalah secara ‘Spectrum Assignment’ dan bukan melalui ‘Apparatus Assignment’ untuk memberi kepastian jangka panjang untuk setiap pelesen membuat perancangan. Penguntukan spektrum disempurnakan di bawah seksyen 174 Akta. Ini seterusnya memerlukan penggunaan radas undang-undang Arahan oleh Menteri dan Penentuan oleh Menteri. Setiap satu memerlukan proses penilaian pasaran dan hasil penilaian yang diangkat kepada Pejabat Menteri oleh Suruhanjaya bagi Menteri memberi persetujuan untuk mengguna pakai radas undang-undang yang disyorkan mengikut Akta.

Penguntukan spektrum yang dilaksanakan mengambil kira status penguntukan spektrum dipasaran terkini dan mengikut prinsip penguntukan yang setara mengikut saiz pasaran.

Setiap spektrum yang diuntukkan kini akan dikenakan syarat-syarat yang lebih ketat supaya spektrum yang diuntukkan akan diguna pakai melalui pelaburan terhadap rangkaian. Ini adalah berdasarkan kepada pelan pelaburan rangkaian yang disediakan oleh pemegang lesen kepada MCMC. Pelan ini disatukan dengan syarat penggunaan spektrum. Ini adalah untuk memastikan rangkaian yang dilabur akan memberi perkhidmatan yang lebih mantap kepada pengguna hasil dari penggunaan spektrum yang lebih optimum. Syarat-syarat yang tidak dipenuhi membolehkan pihak MCMC menarik balik penguntukan spektrum tersebut.

Arahan Menteri dan Penentuan Menteri diterbitkan untuk memberi ketelusan penggunaan radas undang-undang. Ini penting kerana penggunaan radas undang-undang hanya boleh apabila semua proses yang ditetapkan dipenuhi dengan memuaskan serta diangkat oleh Suruhanjaya bagi persetujuan Menteri.

Berasaskan kepada proses sedia ada, masih lagi terdapat beberapa langkah yang perlu dilaksanakan oleh MCMC seperti penilaian nilai spektrum pada harga pasaran terkini. Apabila nilai spektrum telah ditetapkan, sekali lagi Penentuan oleh Menteri akan dikeluarkan. Semua radas undang-undang ini perlu sebelum pihak MCMC dibenarkan untuk mengeluarkan surat tawaran penguntukan spektrum kepada pemegang lesen. Surat tawaran tersebut akan mengandungi kos spektrum yang perlu dibayar kepada MCMC dan juga syarat-syarat penggunaan spektrum yang lebih ketat. Terma dalam Surat tawaran tersebut tidak boleh dirunding.

Hanya apabila pemegang lesen bersetuju dengan harga spektrum dan syarat-syarat penggunaan, MCMC akan memberikan Surat Pemberian (Letter of Award). Setelah spektrum diguna pakai, pihak MCMC akan memantau pelaksanaannya adalah mengikut pelan yang telah ditetapkan dalam syarat penggunaan spektrum.

Dengan penjelasan ini, pihak MCMC berharap pemahaman proses adalah lebih jelas dan difahami oleh semua. Keputusan-keputusan yang dibuat sentiasa berobjektif dan berprinsip bertujuan menjamin kesinambungan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian demi memberi kualiti pengalaman komunikasi yang baik kepada rakyat. Ianya juga selari dengan gandingan usaha gigih antara Kerajaan dan para penyedia perkhidmatan untuk mencapai matlamat Jalinan Digital Negara (JENDELA) seperti yang disasarkan, termasuk meluaskan liputan rangkaian 4G sehingga 100% di kawasan berpenduduk menjelang 2025 dengan purata kelajuan yang memuaskan.


PDF

 
Kongsi artikel ini
Follow