Pusat Media

Syor kuat kuasa peraturan urus aktiviti spam

19 Ogo 2003, Berita Harian
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bercadang memperkenalkan peraturan untuk menguruskan kegiatan spam agar semua pihak sama ada pengguna dan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab terhadap kegiatan itu. SKMM mengeluarkan kertas perbincangan dengan tujuan utama menentukan takrifan khusus mengenai spam, masalah dihadapi, kemampuan untuk mengenal pasti pesalah yang melakukan perbuatan spam dan mengenal pasti keperluan undang-undang bagi mengatasi masalah itu. Jurucakap SKMM yang dipetik sebagai berkata, matlamat utama kertas perbincangan itu bertujuan menyediakan pelan pendekatan menyeluruh membabitkan semua pihak iaitu daripada pengguna, penyedia perkhidmatan, Forum Kandungan dan Pengguna serta SKMM dalam kegiatan menguruskan isu perbuatan ‘spam’. “Langkah ini selaras Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998) yang menjadi asas kepada peraturan industri komunikasi dan multimedia Malaysia iaitu dengan matlamat utama menggalakkan syarikat melakukan pengawal seliaan sendiri. “Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan perlu menyediakan sistem tertentu dan kakitangan sokongan teknikal untuk memastikan persediaan mencukupi jika masalah itu timbul ,” katanya di Kuala Lumpur, kelmarin. Antara cadangan takrif aktiviti spam ialah penghantaran mesej komersial seperti e-mel atau perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) tanpa kebenaran penerima. Apabila mesej itu berulang kali dihantar kepada penerima, ia boleh menimbulkan kemarahan dan gangguan kepada sistem rangkaian komputer. Kertas perbincangan kegiatan spam boleh diperoleh pada laman web www.mcmc.org.my. Beliau berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) secara khusus menjelaskan dalam Seksyen 3 (3), iaitu internet tidak ditapis tetapi SKMM sebagai badan pengawal selia industri bertanggungjawab pembangunan secara positif industri itu. “Bagaimanapun, pada masa yang sama mengikut Seksyen 233 berkaitan isu penyalahgunaan kemudahan sistem rangkaian atau perkhidmatan secara nyata berkaitan kandungan atau komunikasi di samping membabitkan sumber seperti kapasiti jalur lebar, kuasa pemproses dan simpanan,” katanya. Beliau berkata, isu spam ketika ini diperdebatkan di seluruh dunia dan penggubal undang-undang mencari langkah sesuai mengatasi dan melawan spam. “Bagaimanapun, masalah spam di negara ini tidak serius dan SKMM berpendapat ia perlu ditangani dengan baik sebelum menjadi serius,” katanya. Definisi spam juga tidak hanya membabitkan e-mel, kertas perbincangan itu juga memperluaskan takrifan spam kepada perkhidmatan SMS menerusi komunikasi mudah alih. Syarikat kini menggunakan SMS dan spam sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi produk dan perkhidmatan mereka. Beliau berkata, kertas perbincangan itu berharap dapat menyediakan mekanisma mantap untuk menguruskan kegiatan spam secara lebih berkesan. “Kegiatan spam boleh diuruskan secara baik menerusi undang-undang, program pendidikan masyarakat secara intensif dan kerjasama industri,” katanya.
Kongsi artikel ini
Follow