Pusat Media

SKMM sekat 408 sesawang pedofilia, pornografi kanak-kanak

08 Sep 2022, Berita Harian
KUALA LUMPUR : Sejumlah 408 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pronografi kanak-kanak, sudah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia sehingga Ogos tahun ini.

Berdasarkan maklumat SKMM, tindakan itu berjaya dilakukan dengan kerjasama Interpol dan polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana pihak berkuasa itu akan mengenalpasti alamat Protokol Internet (IP) berdasarkan bukti kes. 

"Semua usaha untuk mengenal pasti alamat IP dijalankan PDRM berdasarkan fakta dan bukti kes, dengan pihak SKMM pula berperanan untuk memberi bantuan teknikal berdasarkan permohonan yang dibuat. 

"Dalam hal ini, SKMM sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan PDRM, khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Interpol dalam oeprasi penguatkuasaan secara bersama. 

"Ia merangkumi aspek penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak," katanya kepada BH, di sini hari ini. 

Sebelum ini, data dikongsikan PDRM menunjukkan sebanyak 106,764 alamat IP berdaftar di negara ini membuat perkongsian kandungan lucah terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, dilaporkan berkata, ia menunjukkan perkembangan tidak sihat yang dikhuatiri mendorogn ketagihan seks.

Pada masa sama, menurut SKMM, dalam konteks dunia internet yang luas, terdapat beberapa cabaran teknikal sedia ada dalam mengenal pasti individu melalui alamat IP. 

Katanya, ia antaranya apabila alamat IP yang boleh dikongsi oleh pelbagai pengguna selain alamat IP yang disediakan perkhidmatan 'virtual private network' (VPN) mempunyai dasar untuk tidak log aktiviti pengguna.

"Selain itu, cabaran lain ialah alamat IP yang berkemungkinan berada dalam tempoh yang mana pihak penyedia perkhidmatan tidak lagi menyimpan rekod data.

"Namun begitu, sekiranya dalang sudah dikenal pasti, pelaku akan diambil tindakan berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada mengikut jenis kesalahan yang dilakukan," katanya.

Menurut SKMM, bagi membendung isu itu, pihaknya menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di seluruh negara membabitkan program Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysia ICT Volunteer (MIV) bagi mendidik dan menggalakkan masyarakat supaya mengamalkan kawalan kendiri dan menggunakan internet secara berhemah.

Katanya, selain itu, langkah mengawal selia akses terhadap sesuatu kandungan di internet bukan menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi membabitkan semua pihak termasuk ibu bapa.

Menurut SKMM, justeru inisiatif 'parental control tools' digerakkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet (ISP) bagi pengguna internet, khususnya ibu bapa untuk memantau dan menyaring kandungan yang diakses keluarga serta anak mereka.

"Selain itu, ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan mengenai risiko dan ancaman dalam talian serta perisian kawalan yang boleh digunakan bagi memantau aktiviti anak mereka dalam talian," katanya.

Kongsi artikel ini
Follow