Pusat Media

Pemilik kedai nafi jual peranti elektronik tanpa kelulusan MCMC

10 Mei 2023, Astro Awani
SEREMBAN: Seorang pemilik kedai gajet dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menjual peranti elektronik android box yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada Julai tahun lalu.

Tertuduh Chiah Mei Chi, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim, Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu unit wireless media player berjenama SVICLOUD model 3 PRO.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (standard teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah peraturan 16(3) peraturan-peraturan yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu lapan unit wireless media player jenama Svicloud model M8S PRO W, yang tidak mempunyai label pemerakuan sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (standard teknik) 2000.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 16(1) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (standard teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah peraturan 16(3) peraturan sama. Sabit kesalahan, boleh didenda Maksimum RM300,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis VS Play Gadget Store, Lukut, Port Dickson, kira-kira pukul 12.50 tengah hari pada 28 Julai 2022.
Pendakwaan itu dilakukan Pegawai Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Vivek Sukumaran.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Kongsi artikel ini
Follow