Pusat Media

Pelan tindakan khas tangani isu spam

08 Ogo 2003, Berita Harian
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu lambakan pesanan tidak diingini (spam) sebelum ia menjadi tidak terkawal. Sehubungan itu, SKMM kini mengeluarkan kertas perbincangan mengenai Penyelarasan Pesanan Komersial Tidak Diperlukan selepas menjalankan kajian berhubung masalah spam baru-baru ini. Jurucakap SKMM dalam satu kenyataannya, berkata kertas perbincangan itu mengandungi kajian yang antara lain mendefinisikan maksud spam; masalah berpunca daripada spam; kebolehan bagi mengenal pasti pesalah serta memastikan undang-undang sedia ada memadai ketika menghadapi masalah yang timbul akibat spam. “Matlamat kertas perbincangan ini untuk menghasilkan satu pelan tindakan yang mengambil kira pendekatan menyeluruh terhadap isu spam termasuk peranan pengguna, penyedia perkhidmatan, forum pengguna dan kandungan serta tanggungjawab SKMM di pelbagai peringkat dalam menangani isu ini,” katanya di sini, semalam. Jurucakap itu berkata, cadangan pelan tindakan itu selaras Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mentadbir industri dalam usahanya mempromosi konsep pengawalan sendiri. Bagaimanapun, katanya SKMM berharap penyedia perkhidmatan dapat menyediakan sistem sesuai, kakitangan dan keupayaan teknikal yang memastikan masalah berkaitan spam dapat diatasi. “Isu spam diperkatakan dengan meluas dan pengawal perkhidmatan perlu mencari jalan untuk mengatasinya. “Di Malaysia, walaupun ia bukan satu masalah besar, SKMM berpendapat langkah untuk membanterasnya perlu diambil sebelum terlambat,” katanya. Katanya, kegiatan spam dalam konteks ini bukan hanya terhad kepada emel, tetapi kertas perbincangan itu turut melihat kepada emel pesanan pendek dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang digunakan secara berkesan untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan. Kebanyakan spam adalah berbentuk pengiklanan komersial, biasanya untuk produk yang diragukan, skim cepat kaya atau perkhidmatan separa undang-undang. Kegiatan spam hanya mengenakan kos yang sedikit kepada penghantar tetapi sebahagian besarnya ditanggung oleh penerima. “Kertas perbincangan ini berharap dapat menyediakan satu mekanisme peraturan yang dapat memastikan kegiatan spam dapat dikawal dengan berkesan,” katanya. SKMM berpendapat, masalah spam dapat diatasi dengan memperkenalkan langkah pengawalan, program pendidikan komuniti menyeluruh di samping pembabitan dan kerjasama pihak industri.
Kongsi artikel ini
Follow