Pusat Media

PEDi Nanga Ngungun dapat sambutan baik, 254 ahli berdaftar

27 Dis 2022, Utusan Borneo
KANOWIT: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Nanga Ngungun mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat sejak dibuka pada 15 Mei lalu.

Menurut pengurus PEDi Nanga Ngungun Donny Stanley berkata pusat itu kini mempunyai 254 ahli berdaftar dengan yang paling muda berumur lima tahun manakala paling tua berumur 73 tahun.

Katanya, PEDi adalah inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dilaksanakan Telekom Malaysia untuk menyediakan akses internet kepada masyarakat luar bandar.
 
“Pusat ini mempunyai sejumlah 30 komputer meja di mana 20 daripadanya adalah untuk melayari internet dan 10 lagi untuk latihan ICT.

“Selain latihan ICT, perkhidmatan yang disediakan di pusat itu juga termasuk mencetak, menaip, fotokopi dan pemeriksaan kesihatan asas seperti pemantauan tekanan darah,” katanya ketika ditemui di pusat itu baru-baru ini.

Donny berkata mereka juga mengajar asas keusahawanan untuk usahawan tempatan yang ingin memasarkan produk mereka di platform digital atau memulakan perniagaan dalam talian mereka.

“Terdapat dua kelas setiap bulan di mana kami mengajar mereka, contohnya cara membuat reka bentuk grafik menggunakan aplikasi dalam talian.

“Ini juga salah satu objektif penubuhan PEDi Nanga Ngungun,” katanya dan menambah mereka turut membantu mempromosikan produk kraftangan tempatan secara dalam talian.

Beliau berkata pusat yang terletak di belakang dewan serbaguna Nanga Ngungun itu dibuka setiap hari dan ditutup pada cuti umum.

“Setiap hari selepas sekolah, kanak-kanak dari rumah panjang di Nanga Ngungun akan datang ke pusat berkenaan untuk melayari internet atau menggunakan perkhidmatan Wifi percuma.

“Kebanyakan mereka datang menonton program kegemaran mereka di Youtube.

"Remaja datang menggunakan Wifi untuk bermain permainan mudah alih manakala ahli yang lebih tua akan datang sekali-sekala untuk perkhidmatan percetakan atau fotostat," katanya.

Pusat itu juga turut menganjurkan aktiviti untuk ahlinya setiap bulan.

Kongsi artikel ini
Follow