Pusat Media

Naik taraf prasarana telekomunikasi untuk akses internet berkualiti

05 Sep 2021, Harian Metro

Kota Bharu: Sebanyak 67 menara telekomunikasi baharu dilengkapi 408 peralatan pemancar rangkaian 4G akan dinaik taraf sekali gus mampu melakukan sambungan gentian optik ke 33,037 premis di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses naik taraf itu juga akan disertai dengan pembinaan 18 jalur lebar satelit bermula bulan ini dan dijangka siap menjelang tahun hadapan.

Beliau berkata, menerusi program Jalinan Digital Negara (Jendela), sebanyak 24 menara komunikasi siap dibina dengan 870 peralatan pemancar rangkaian 4G dinaik taraf bagi menampung penggunaan 21,867 premis bangunan atau rumah yang diliputi sambungan gentian optik.

"Matlamat kita agar seluruh rakyat dapat menikmati akses internet dengan capaian berkualiti termasuk di perkampungan Orang Asli menerusi pembinaan jalur lebar satelit yang menumpukan kawasan pedalaman.

"Perkampungan Orang Asli mungkin tidak begitu ekonomik untuk memasang fiber optik, tapi mereka juga berhak mendapat kemudahan internet.

"Walaupun kosnya agak tinggi, kita ada peruntukan daripada dana Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dan akan gunakan sepenuhnya untuk meningkatkan prasarana ini," katanya ketika sidang media di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Annuar berkata, semua prasarana itu disediakan berdasar maklum balas atau aduan yang diterima terutama kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang dilaporkan sebagai kawasan 'blindspot' dan tiada capaian internet.

Katanya, sehubungan itu, rakyat perlu menukarkan kad sim masing-masing kepada rangkaian 4G berbanding penggunaan rangkaian 2G dan 3G ketika ini.

"Kita mahu rakyat secara berperingkat sebelum akhir tahun ini dapat tukar kad sim supaya kita boleh keluarkan jalur lebar itu agar lebih ramai boleh gunakan rangkaian 4G.

"Kita tak mahu bazirkan sumber, malah memberi jaminan akses internet akan lebih pantas dan sasaran kita sekurang-kurangnya 35 megabit per saat (mbps) berbanding kini masih ada lagi di tahap 24 atau 25mbps," katanya.


Kongsi artikel ini
Follow