Pusat Media

Henti kongsi gambar, video nahas pesawat - MCMC

18 Ogo 2023, Harian Metro

Putrajaya: Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang melakukan perkongsian gambar atau video mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, pihak yang melakukan perkongsian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Perkongsian gambar atau rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas," kata MCMC yang turut menggesa semua pihak untuk menjaga sensitiviti serta mengelak daripada berkongsi gambar mangsa nahas.

Menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas pesawat itu, MCMC berkata, semua pihak diminta membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun, maut.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi adalah orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Kongsi artikel ini
Follow