Pusat Media

MCMC, SDEC ambil langkah interim atasi capaian internet di Kampung Semawa

02 Feb 2023, Bernama
KUCHING, 2 Feb (BERNAMA) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) sedang dalam proses memasang peralatan perkhidmatan Wi-Fi di Kampung Semawa, Pantu, di bahagian Sri Aman, kira-kira 138 kilometer dari sini. 

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses berkenaan sebagai langkah interim susulan aduan menara telekomunikasi yang tidak berfungsi di kawasan itu sementara menunggu perkhidmatan Wi-Fi di bawah inisiatif Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) di situ siap sebelum hujung Mac ini. 

"Berdasarkan maklumat yang diterima, menara telekomunikasi yang dimaksudkan oleh pengadu adalah menara telekomunikasi di bawah projek sedang dalam pembinaan yang dikendalikan pejabat negeri," menurut kenyataan itu. 

Pembinaan struktur menara yang terletak 4.5 kilometer dari pekan Pantu telah siap dan kini di peringkat akhir rundingan komersial dengan penyedia perkhidmatan seperti CelcomDigi, Maxis serta UMobile bagi penyediaan kemudahan perkhidmatan talian mudah alih 4G sebelum penghujung tahun ini. 

"MCMC telah melaksanakan fasilitisasi bagi memudah cara proses rundingan antara pihak penyedia kemudahan perkhidmatan dan pihak SDEC yang bertanggungjawab melaksanakan projek pembangunan menara telekomunikasi dan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak," menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, MCMC memberitahu di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu, sejumlah 10 menara telekomunikasi baharu sedang dibangunkan di Sri Aman tahun ini dan kesemuanya akan beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat tahun ini. 


 
Kongsi artikel ini
Follow