Pusat Media

Langgar syarat lesen, MCMC pertimbang tindakan ke atas Awesome TV

07 Mac 2023, Utusan TV

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang mempertimbang tindakan kawal selia ke atas pihak Awesome Broadcasting Sdn Bhd (ABSB) iaitu syarikat stesen penyiaran, Awesome TV kerana disyaki melanggar lesen yang diberikan.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, ABSB kemungkinan telah melanggar Seksyen 36 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Menurut MCMC, sebarang operasi penyiaran oleh stesen televisyen haruslah mematuhi peraturan dan syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

Katanya, ia terkandung dalam Lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP-I).

“MCMC memandang serius berhubung pelesenan dan komited memastikan tahap pematuhan para pemegang Lesen (CASP-I).

“Kegagalan untuk berbuat demikian adalah merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan Awesome TV disiasat mengikut Seksyen 206 AKM 1998 susulan penyiaran laporan yang menyentuh sensitiviti masyarakat.

MCMC telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

Kontroversi tercetus apabila Awesome TV menyiarkan laporan berita kononnya kerajaan bercadang untuk membuang lebih 800,000 pegawai penjawat awam.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

Kongsi artikel ini
Follow