Pusat Media

Pegawai Polis Bantu MCMC Perkasa Penguatkuasaan Kandungan Media Sosial

03 Apr 2023, Bernama

KUALA LUMPUR, 3 April (BERNAMA) - Dua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan ditempatkan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai usaha memperkasakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan berkaitan kandungan di media sosial.

MCMC dalam hantaran di Facebook hari ini, memaklumkan penempatan pegawai polis berkenaan di agensi itu bakal memantapkan keupayaan dan kepakaran kedua-dua agensi penguatkuasaan bagi tujuan risikan, siasatan dan pendakwaan.

Menurut agensi itu, keputusan berkenaan dipersetujui menerusi pertemuan antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, hari ini.

"Pertemuan itu menbincangkan berkenaan keperluan memperkasakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung kandungan media sosial berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

"Pemerkasaan kerjasama sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa serta mengambil kira keperluan terkini dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang negara," menurut MCMC.

Kongsi artikel ini
Follow