Pusat Media

6625 laman web judi dalam talian disekat

04 Dis 2022, Harian Metro

Kuala Lumpur: Sebanyak 6,625 laman web judi dalam talian termasuk laman web penyedia pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 disekat sejak 2018 hingga Oktober lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, tindakan menyekat diambil berdasarkan kepada permohonan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagi tempoh 2018 sehingga Jun 2022 pula, sejumlah 168,300 talian telefon telah ditamatkan atas kesalahan spam sistem pesanan ringkas (SMS) yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

"Selain tindakan penguatkuasaan (pendakwaan/sekatan), kesedaran diri, pendidikan serta kawalan kendiri adalah kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, SKMM sentiasa komited dalam menyokong tindakan penguatkuasaan PDRM dalam usaha untuk membanteras kegiatan judi dalam talian yang tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

"Kerjasama antara PDRM dan SKMM sudah sedia terjalin dalam membendung gejala ini, termasuk daripada segi teknikal, bantuan pembekalan maklumat, bantuan forensik digital, serta bantuan penyekatan laman sesawang berunsur perjudian berdasarkan permohonan daripada pihak PDRM.

"Selain kerjasama antara agensi, pengguna juga boleh memainkan peranan untuk turut sama dalam usaha menyekat aktiviti promosi judi dalam talian, antaranya dengan melaporkan kepada SKMM promosi iklan-iklan judi yang diterima melalui SMS supaya pembatalan talian dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi," katanya.

Katanya, sekiranya pengguna menerima iklan judi melalui aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp dan media sosial seperti Facebook, laporkan nombor talian atau akaun media sosial kepada penyedia perkhidmatan aplikasi atau penyedia platform supaya nombor atau akaun tidak dapat menghantar iklan promosi judi dalam talian kepada pengguna yang lain.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi laporan muka depan melaporkan, sindiket pertaruhan dan bookie bola sepak tempatan mengambil kesempatan 'demam' Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dengan menawarkan keuntungan pertaruhan mencecah RM1 juta bagi setiap perlawanan.

Berbanding kaedah konvensional, sindiket sindiket pertaruhan judi bola sepak kini semakin licik apabila menggunakan sepenuhnya medium dalam talian dan berpuluh laman web berpangkalan di Hong Kong bagi berurusan dengan pelanggan.

Malah lebih berani apabila sindiket turut mengiklankan operasi mereka di media sosial dengan menawarkan hadiah wang lumayan menjangkau sehingga 50 kali ganda modal pertaruhan.

Melalui pendekatan terbaru ini, khidmat ejen bookie `kedai' atau 'punter' bergerak yang mengumpulkan wang pertaruhan dari kaki judi tidak lagi dianggap efisien dan selamat.

Siasatan wartawan Harian Metro mendapati, pelbagai laman web diwujudkan sindiket semata-mata bagi menarik perhatian kaki judi mencuba nasib melalui pertaruhan harian pertandingan bola sepak antarabangsa itu.

Semakan mendapati semua transaksi pertaruhan membabitkan urusan perbankan dalam talian, pindahan wang e-wallet dan menambah nilai telefon pintar.

Kongsi artikel ini
Follow