Pusat Media

5,802 aduan penipuan diterima MCMC sejak 2020

07 Sep 2022

SEBANYAK 5,802 aduan berunsur penipuan telah diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh dua (2) tahun sehingga Jun lalu.

MCMC memaklumkan, kesemua aduan yang diterima kemudiannya dirujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut.

Menurut MCMC, kegiatan penipuan atau ‘scam’ sama ada secara dalam talian atau luar talian tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Suruhanjaya Sekuriti (SC); Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi berkenaan; tertakluk kepada bentuk-bentuk penipuan yang dijalankan.

Dalam kebanyakan keadaan, MCMC memberitahu, sasaran mangsa yang dipilih adalah secara rawak.

“Ironinya, jenayah ini tidak kenal mangsa dengan hampir semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional turut menjadi mangsa.

“Semua orang boleh menjadi mangsa penipuan kerana scammer menyasarkan mangsa daripada semua latar belakang, umur dan tahap pendapatan.

“Tidak ada satu kumpulan atau individu khusus yang lebih berkemungkinan menjadi mangsa penipuan kerana kita semua terdedah kepada perkara sedemikian,” katanya kepada UtusanTV.

Mengulas lanjut, MCMC memaklumkan Jawatankuasa Jenayah Siber yang ditubuhkan dengan kerjasama PDRM akan terus digerak dan diperkasa bagi memastikan gerak kerja dan tindakan yang lebih strategik serta tersusun.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak khususnya perkongsian maklumat dan kepakaran adalah bertepatan bagi melancarkan penguatkuasaan bagi menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif.

Jelas MCMC lagi, pihaknya akan memberi bantuan teknikal untuk membantu siasatan dijalankan agensi penguatkuasaan merangkumi bantuan pembekalan maklumat, komunikasi dengan penyedia platform media sosial serta bantuan dari sudut analisis forensik digital.

“Sebagai langkah proaktif, MCMC mengambil langkah berkomunikasi dengan penyedia platform media sosial yang berkenaan bagi tujuan pemadaman akaun atau kandungan mengikut pelanggaran terma perkhidmatan dan piawaian komuniti.

“Usaha tersebut dilakukan bagi mengelakkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa,” jelasnya.

Namun begitu, MCMC turut mengakui terdapat kekangan dan cabaran yang dihadapi dalam mengenal pasti penjenayah penipuan dalam talian.

Antara kekangan tersebut, kata MCMC adalah perkembangan teknologi terkini yang menyaksikan penjenayah menggunakan pelbagai cara bagi mengelakkan mereka dikesan.

“Scammer semakin bijak dan memanfaatkan teknologi baharu, produk atau perkhidmatan baharu bagi mengelakkan diri daripada dikesan penguatkuasa sebagai contoh menerusi aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber.

“Penjenayah menggunakan teknologi terkini bagi memastikan jejak digital mereka tidak dapat dikenal pasti atau sangat kabur,” kata MCMC.

Kongsi artikel ini
Follow