Pusat Media

Liputan 4G seluruh negara sekarang pada 93 peratus - Pengerusi SKMM

18 Mac 2021, Bernama
KUALA LUMPUR: Liputan rangkaian generasi keempat (4G) di seluruh negara kini meliputi hampir 93 peratus berikutan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) tahun lepas, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata SKMM yakin liputan rangkaian 4G akan mencapai sehingga 95 peratus menjelang akhir tahun ini selaras dengan sasaran liputan 96.9 peratus menjelang akhir 2022 di bawah inisiatif JENDELA.

''Apabila kami memulakan JENDELA pada September lepas, liputan rangkaian 4G hanya pada 91.8 peratus, jadi tahun ini kami secara agresif mengusahakan pengembangan liputan untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik.

''Penutupan spektrum 3G menjelang akhir tahun ini juga akan membantu meningkatkan liputan rangkaian 4G kerana kami mengoptimumkan semula rangkaian 3G untuk tujuan 4G,'' katanya kepada Bernama.

SKMM akan menerbitkan laporan kedua Fasa 1 JENDELA bagi suku berakhir 31 Mac 2021, menjelang minggu pertama April selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu JENDELA yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

''Kami akan memberi liputan tiga parameter dalam laporan itu iaitu usaha pemasangan gentian di premis, liputan 4G dan kelajuan rangkaian 4G termasuk status penutupan 3G daripada segi (rangkaian) yang telah dinaik taraf termasuk bilangan pelanggan yang telah berhijrah ke peranti 4G,'' katanya.

Laporan suku pertama mengenai Fasa 1 JENDELA pada awal tahun ini menunjukkan hampir 400,000 premis di seluruh negara telah dipasang dengan teknologi fiber dalam tempoh tiga bulan pertama inisiatif itu.

JENDELA menyasarkan melepasi 1.2 juta premis dan rumah dengan sambungan fiber menjelang 2021, berikutan sasarannya untuk memasang sambungan fiber ke atas 7.5 juta premis menjelang 2022.

Sementara itu, Fadhlullah berkata keputusan tender pemasangan menara baharu di 1,661 tapak di seluruh negara, yang dijadualkan ditutup pada 31 Mac, akan diumumkan pada akhir Jun depan.

Fadhlullah ketika mengulas mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas, berkata peruntukan RM3.2 bilion di bawah Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) adalah sebahagian daripada belanjawan RM21 bilion yang diketepikan bagi pelaksanaan inisiatif JENDELA.

''Bagi jumlah subsidi untuk membeli peranti baharu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah memutuskan bagi menyediakan jumlah subsidi yang lebih tinggi daripada RM180 kepada RM300, jadi rakyat kini boleh memilih untuk membeli peranti 4G,'' katanya lagi.

Mengenai program MyBAIKHATI di bawah PEMERKASA, SKMM bersama-sama dengan pemain industri akan membuat penyumberan semula peranti yang boleh digunakan dan membaikinya untuk diagihkan kepada masyarakat, khususnya kumpulan berpendapatan 40 peratus terbawah (B40).

''Peranti yang telah dibaik pulih ini akan diedarkan antara saluran ke pusat Internet komuniti, dan sehingga kini, U Mobile, Celcom, Maxis, Digi, Time serta Telekom telah memberikan sokongan," kata Fadhlullah.
Kongsi artikel ini
Follow