Pusat Media

25 peratus lagi capai sasaran 80 peratus liputan 5G - Fahmi

09 Apr 2023, Bernama
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) - Peratus capaian rangkaian 5G di Malaysia setakat penghujung Mac lepas telah mencapai 55 peratus, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. 

Beliau berkata ia adalah perkembangan positif dan menunjukkan kerajaan berada pada landasan tepat dalam memastikan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G sebelum akhir tahun ini, dapat dicapai.

"Kita ada lebih kurang 25 peratus untuk kita mencapai 80 peratus capaian rangkaian 5G bagi kawasan yang berpenduduk menjelang hujung 2023, yang penting kita ingin pastikan pelaksanaan ini tidak tergendala.

"Dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, ada beberapa pertimbangan yang telah diberikan tentang apa yang boleh kita lakukan untuk mempercepatkan proses itu,"katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Cahaya Ramadan di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu ini bagi memuktamadkan dasar dan hala tuju pelaksanaan 5G di Malaysia.

Terdahulu beliau mengagihkan 500 pek makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan TM kepada penduduk PPR Kerinchi yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, golongan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Yayasan TM telah memperuntukkan sebanyak RM260,000 untuk pelaksanaan Program Sumbangan Cahaya Ramadan di seluruh negara bagi tahun ini dan setakat ini seramai 2,100 orang telah menerima sumbangan tersebut.

-BERNAMA
Kongsi artikel ini
Follow