Pusat Media

19.5 juta guna telefon bimbit

25 Jan 2003, Berita Harian
CYBERJAYA: Hampir 80 peratus atau 19.5 juta daripada kira-kira 25 juta rakyat melanggan perkhidmatan telefon bimbit tahun lalu dengan 13.1 peratus daripadanya adalah praremaja dan remaja. Pelanggan Melayu paling ramai menggunakan kemudahan telefon bimbit iaitu 53.9 peratus dan diikuti Cina 32.4 peratus, manakala 57.4 peratus daripada pelanggan adalah lelaki. Sehingga 31 Mei lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merekodkan 16.2 juta pelanggan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang dikendalikan lima penyedia perkhidmatan dengan kadar melonjak kepada lebih 19 juta dalam tempoh tujuh bulan terakhir. SKMM yang mengambil saiz sampel membabitkan 4,925 responden bagi kajian pengguna telefon bimbit mendapati 37.3 peratus pemilik memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,000 hingga RM3,000. Larangan membawa telefon bimbit ke sekolah yang diumumkan kerajaan, dikatakan tidak memberi kesan terhadap pasaran telefon bimbit di kalangan remaja berusia bawah 19 tahun kerana kemudahan itu boleh digunakan lebih berkesan di luar waktu sekolah. Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Industri SKMM, Bistamam Siru Abdul Rahman, berkata pasaran telefon bimbit diramal terus berkembang selaras matlamat suruhanjaya memastikan kawasan penempatan penduduk di seluruh negara mendapat liputan pada akhir tahun ini. "Kita memberi fokus bukan kepada liputan telekomunikasi secara geografi, sebaliknya mahu memastikan semua kawasan berpopulasi mendapat liputan," katanya pada sidang media mengumumkan hasil kajian SKMM semalam. Pada 2004, SKMM merekodkan 12.3 juta pengguna di seluruh negara, iaitu hampir separuh daripada 25 juta rakyat Malaysia dengan 30 peratus daripadanya berpendapatan kurang RM1,000 sebulan. Kajian terbaru dikendalikan Pusat Soal Selidik Telefon Berkomputer (CATI) di Shah Alam itu, antara lain bertujuan mengumpul data jika kerajaan mahu merangka dasar atau menilai pertimbangan lain dalam industri telekomunikasi. Bistamam Siru berkata, Selangor muncul negeri paling ramai mencatat pengguna telekomunikasi mudah alih dengan kadar 24.7 peratus diikuti Johor (13.7 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.7 peratus) dan negeri lain mencatat antara 2.9 kepada 7.4 peratus. Beliau berkata, 49.6 peratus daripada responden menggunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas lebih lima kali sehari. Sementara itu, katanya, orang ramai mungkin dibenarkan menukar syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dengan mengekalkan nombor telefon sama jika kerajaan meluluskan syor itu bulan depan. “Kerajaan dijangka umum cadangan penggunaan portabiliti nombor telefon dalam tempoh sebulan mulai sekarang,” katanya.
Kongsi artikel ini
Follow