Mengenai Kami

Dato' Wei Chuan Beng

 
 

Dato' Wei Chuan Beng telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 26 Januari 2023 untuk tempoh dua (2) tahun.

Dato' Wei Chuan Beng merupakan peneraju dalam industri digital/ICT/ telekomunikasi. Beliau telah mengambil bahagian secara aktif dalam organisasi dan industri bagi memajukan sektor digital/ICT negara. Dato' Wei Chuan Beng juga pernah berkhidmat sebagai ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari tahun 2018 hingga 2020.
 
Dato' Wei Chuan Beng kini merupakan ahli Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) serta Majlis Produktiviti Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia. Sejak 2020, Dato' Wei Chuan Beng telah terlibat dalam Nexus Produktiviti Digital (DPN) di bawah naungan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
 
Sejak Julai 2020, Dato' Wei Chuan Beng telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Kanan Institut Strategik KSI (KSI). KSI ialah sebuah institut yang menyediakan khidmat nasihat strategik, taklimat eksekutif peringkat tinggi, persidangan antarabangsa, dasar dan sidang kemuncak kebangsaan.
 
Sebelum dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya, Dato' Wei Chuan Beng pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif bagi Red One Holdings Bhd (redONE). Selain itu, Dato’ Wei Chuan Beng adalah merupakan pengasas bersama REDtone Telecommunications Sdn Bhd (REDtone) pada tahun 1996 dan Dato' Wei Chuan Beng meninggalkan syarikat tersebut pada tahun 2015. Dato' Wei Chuan Beng juga merupakan pengasas bersama dan pengerusi Digital Way Academy.
 
Dato' Wei Chuan Beng turut memberikan sumbangan besar dalam pendidikan tinggi negara. Beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa penasihat Kementerian Pengajian Tinggi untuk sektor swasta. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Profesor Adjung dan ahli fakulti CEO di UTM dan UTHM. Beliau merupakan pemegang amanah untuk Dana Endowmen UTM dan ahli lembaga pengarah UTMSPACE. Di samping itu, Dato' Wei Chuan Beng turut menjadi jurulatih induk kemahiran jualan profesional dan program pembangunan usahawan.
 
Sejak 2005, Dato' Wei Chuan Beng telah menjadi ahli aktif Pertubuhan Presiden Muda (YPO). YPO ialah sebuah organisasi CEO di seluruh dunia dengan kira-kira 30,000 ahli dari 142 negara. Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Malaysia Chapter, Pengerusi Malaysia Gold Chapter, dan ahli Jawatankuasa Eksekutif YPO Technology Network. Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai EXCO YPO China Business Network.
 
Dato' Wei Chuan Beng memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1989 dan Diploma Pengurusan (Pemenang Anugerah Pingat Emas Bank Negara) dari Institut Pengurusan Malaysia (MIM) pada tahun 1995. Pada tahun 2006, beliau telah menamatkan pengajian Program Pembangunan Usahawan di Sekolah Pengurusan MIT Sloan.
 
Follow