Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Sungai Mata Di Samarahan Dilancarkan

24 Apr 2016

SAMARAHAN, 24 April 2016 --- Masyarakat setempat di kawasan Kampung Sungai Mata, kini berpeluang menikmati kemudahan internet jalur lebar secara kolektif melalui pewujudan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Sungai Mata, di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia Sungai Mata ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jailani Johari sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, masyarakat sekitar Kampung Sungai Mata, wakil-wakil daripada MCMC, jabatan kerajaan, syarikat perkhidmatan komunikasi, Pengerusi JKKK dan komuniti setempat.

Kemudahan PI1M memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) secara lebih mendalam melalui bengkel dan latihan yang disediakan, di samping dapat menggunakan kemudahan internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian mereka.

Kewujudan PI1M di Kg. Sg. Mata ini akan membantu menjana peningkatan sosioekonomi dalam kalangan komuniti setempat dan mewujudkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

PI1M ditubuhkan bertujuan merapatkan jurang digital antara komuniti kawasan bandar dan luar bandar. Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi bagi komuniti setempat melalui platform ICT dan capaian kepada informasi yang lebih cepat dan berkesan. Melalui PI1M ini juga, lebih ramai usahawan dalam talian yang dapat dilahirkan.

Golongan pelajar berumur 20 tahun ke bawah atau mempunyai kad pelajar universiti, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) layak menikmati kemudahan percuma di PI1M berkuatkuasa 1 April lalu.

TAMAT-
 

Share this article
Follow