Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Pastikan Penduduk Pulau Tioman Terhubung

30 Apr 2015
PULAU TIOMAN, 30 April 2015 - Penduduk di Pulau Tioman, Rompin kini dapat menikmati kemudahan jalur lebar dengan terbinanya Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dijayakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

PI1M dilaksanakan oleh MCMC di bawah Program Pemberi Perkhidmatan Sejagat atau lebih dikenali sebagai USP (Universal Service Provision). Fokus PI1M adalah untuk memberi perkhidmatan capaian internet secara kolektif kepada masyarakat setempat di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan.

PI1M yang dilaksanakan di Kampung Tekek, Pulau Tioman itu merupakan pusat yang ke-8 dibangunkan di daerah Rompin. Tujuh lokasi yang lain terletak di Bandar Muadzam Shah, Felda Selancar 5, Felda Keratong 10, Felda Keratong 2, Kg Simpang Sepayang, Kg Pianggu, dan Felda Selendang 1. Jumlah keseluruhan PI1M yang telah dibangunkan di Pahang sehingga kini ialah sebanyak 90 pusat yang mana 80 sedang beroperasi dan pembinaan 10 lagi masih dalam pelaksanaan.

Kewujudan PI1M membolehkan masyarakat luar bandar memperoleh kemudahan yang sama taraf seperti di bandar. Ini kerana PI1M dilengkapi dengan sambungan internet jalur lebar berkelajuan sekurang-kurangnya 4 megabit sesaat (Mbps) dan perkakasan IT yang terkini. PI1M menyediakan akses kepada komuniti luar bandar dengan memberi pendedahan teknologi ICT kepada penduduk luar bandar dan seterusnya dapat membantu mereka untuk memanfaatkan kemudahan internet untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Pelancaran tersebut dirasmikan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia dengan diiringi wakil-wakil dari MCMC dan Jabatan Kerajaan peringkat negeri dan daerah, syarikat perkhidmatan komunikasi, ketua-ketua kampung, JKKK dan komuniti setempat.

 PDF

Share this article
Follow