Media & Events

Pelaksanaan Rebat Prabayar Secara Umum Berjalan Lancar Namun Telco Perlu Lipat Ganda Usaha Perjelas Mekanisme Rebat Kepada Penjual

03 Jan 2016
PELAKSANAAN REBAT PRABAYAR SECARA UMUM BERJALAN LANCAR NAMUN TELCO PERLU LIPATGANDA USAHA PERJELAS MEKANISME REBAT KEPADA PENJUAL 
 
CYBERJAYA, 3 Januari 2016 ---   Pelaksanaan proses pemberian skim rebat kepada pengguna perkhidmatan prabayar telefon mudah alih yang bermula dua hari yang lalu, secara umumnya berjalan dengan lancar.
 
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dato’ Sri Dr. Halim Shafie memaklumkan, berdasarkan kepada maklum balas dan pemantauan yang dijalankan oleh MCMC, biarpun tiada aduan yang diterima daripada pengguna, syarikat-syarikat telekomunikasi sedar bahawa terdapat segelintir penjual dan ejen-ejen yang masih belum memahami proses berkenaan. Bagaimanapun, keadaan ini tidak akan menghalang proses pemberian rebat memandangkan semua rebat akan dikreditkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan bukannya penjual mahupun ejen-ejen mereka.
 
Menurut Dr. Halim, semua syarikat telekomunikasi telah melaksanakan pemberian skim rebat seperti yang diarahkan dan telah memberikan kerjasama penuh dalam memastikan kelancaran pelaksanaan proses itu. Namun begitu, syarikat-syarikat telekomunikasi perlu melipatgandakan usaha mereka untuk memaklumkan penjual-penjual dan ejen-ejen mereka berhubung mekanisme rebat agar pelanggan-pelanggan mereka akan mendapat maklumat yang lebih jelas daripada mereka.
 
“Pelaksanaan rebat ini merupakan proses yang dilaksanakan di seluruh negara justeru kami menjangkakan akan berlakunya sedikit kesulitan di sana sini. Setakat ini, pemantauan oleh kami mendapati, pelaksanaan rebat berjalan agak lancar namun kami akan terus memantau keadaan ini,” jelas Dr. Halim.
 
Dr. Halim menambah, tempoh yang diperlukan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mengkreditkan rebat kepada pengguna adalah berbeza daripada satu syarikat dengan syarikat yang lain. Apapun, semua rebat dikreditkan dalam tempoh masa 24 jam yang ditetapkan.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Halim turut menjelaskan bahawa persepsi oleh sesetengah pihak bahawa GST sudah dimansuhkan untuk perkhidmatan prabayar mudah alih ekoran pelaksanaan skim rebat itu, adalah tidak benar. 
 
Pada pembentangan Bajet 2016 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan skim rebat yang dimaksudkan dan bukannya pemansuhan GST untuk perkhidmatan prabayar mudah alih seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
 
“MCMC ingin mengingatkan pengguna-pengguna media sosial agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai isu ini. Pastikan anda mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai,” kata Dr. Halim.
Share this article
Follow