Media & Events

MCMC Siasat Ahli Parlimen Subang Kongsi Kandungan Palsu Di Internet

25 Mar 2016
MCMC SIASAT AHLI PARLIMEN SUBANG KONGSI KANDUNGAN PALSU DI INTERNET

CYBERJAYA, 25 Mac 2016 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Subang, Sivarasa A/L Rasiah, kerana disyaki memuat naik dan berkongsi kandungan palsu di laman Facebook.

Berdasarkan aduan yang diterima, Ahli Parlimen terbabit dikatakan telah berkongsi dalam laman Facebook milik beliau, muka depan majalah TIME yang diubahsuai dengan menampilkan gambar Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan kapsyen “No.2 Dalam Senarai Rasuah” sedangkan majalah tersebut tidak pernah menerbit kulit muka depan sedemikian.

Dalam siasatan yang dijalankan, rakaman percakapan Ahli Parlimen terbabit telah diambil di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 25 Mac 2016. Telefon bimbit dan kad sim milik beliau juga diperiksa dan menjalani proses analisis forensik.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Denda sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan turut boleh dikenakan.

MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi, menyebar, memuatnaik, mahupun mempercayai sebarang bentuk kandungan yang belum ditentukan kesahihannya.

MCMC juga memandang serius penyalahgunaan media sosial dan perkhidmatan komunikasi dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tanpa mengira kedudukan atau status mana-mana individu sekalipun.
Share this article
Follow