Media & Events

MCMC Siasat Aduan Kandungan Promosi Produk Yang Disiarkan Melalui Astro Ria

14 Nov 2018
MCMC SIASAT ADUAN KANDUNGAN PROMOSI PRODUK YANG DISIARKAN MELALUI ASTRO RIA
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan berhubung dengan aduan orang ramai tentang kandungan promosi produk yang didakwa mempersenda kulit dan raut wajah orang pada program Konsert Gegar Vaganza 5 yang disiarkan melalui saluran Astro Ria, baru-baru ini.
 
Pihak Astro telah menghadiri perjumpaan dengan MCMC pada 7 November 2018 bagi memberi penjelasan butiran insiden serta tindakan pencegahan dan pembetulan yang diambil.  Permohonan maaf daripada pihak penaja dan Astro telah dikeluarkan semasa siaran program pada 11 November 2018. Sebagai tindakan pencegahan pengulangan insiden, Astro juga telah merakam terlebih dahulu apa-apa segmen yang melibatkan penaja utama bagi program ini.
 
Pihak MCMC memandang serius perkara tersebut dan telah mengeluarkan amaran kepada Astro untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang. Astro, selaku pemegang lesen Pembekal Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-i) adalah tertakluk kepada pematuhan Syarat Lesen Khas dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
 
Share this article
Follow